Wednesday, July 11, 2012

BLW galak si kecil berdikari

Sekadar untuk dikongsi.


PERNAHKAH anda melihat bayi memegang makanan dan memasukkannya sendiri ke mulut? Bagi sesetengah ibu mungkin berasa masih terlalu awal memberikan makanan pejal seperti buah-buahan yang dikukus kepada bayi berusia usia enam bulan. Ini kerana ramai yang khuatir bayi akan tercekik serta tidak mendapat khasiat makanan secukupnya lantaran lebih banyak makanan terbuang berbanding masuk ke perut.
Ada pula sesetengah ibu lebih suka menyuapkan sendiri makanan kerana tidak mahu bersepah sehingga anak berusia setahun atau lebih.
Di negara Barat, kaedah ‘baby-led weaning (BLW)’ atau memperkenalkan bayi daripada susu kepada makanan pejal sudah dimulakan sejak usia bayi enam bulan.

Pada permulaannya hanya sedikit makanan yang akan masuk ke mulut memandangkan pada tahap ini, bayi mula mengenali tekstur dan rasa makanan. Namun jangan bimbang, lama kelamaan mereka akan pandai untuk menelan dan mengunyah sendiri makanan.


BLW membolehkan bayi mengawal sendiri pengambilan makanan dengan cara makan sendiri sebagai permulaan kepada proses mengenali makanan pejal. Bagaimanapun, pemberian susu ibu hendaklah diteruskan seiring dengan pemberian makanan pejal dan disarankan menyusukan bayi sehingga dua tahun. Apapun, menyusu secara terus adalah cara terbaik ke arah memperkenalkan BLW. Ini kerana bayi sudah terbiasa dengan kepelbagaian rasa makanan melalui susu ibu dan ketika menyusu, rahang bayi terlatih untuk mengunyah.
BERDIKARI...sejak berusia lima bulan, Azrie sudah didedahkan dengan teknik makan sendiri.


Amat sukar memperkenalkan BLW kepada bayi yang minum menggunakan botol susu sejak lahir kerana mereka mengambil masa untuk belajar menerima kepelbagaian rasa makanan dan belajar mengunyah.

Menurut kaunselor Penyusuan Susu Ibu Malaysia, Yusrina Mohamat Hata, dia mengetahui mengenai BLW daripada pengasas SusuIbu.com, Kamariah Mohamad Alwi, apabila membincangkan mengenai penyusuan selepas enam bulan pertama. Kemudian Kamariah menghadiahkan buku mengenai Baby-Led Weaning sempena kelahiran si kecil, Azrie Azlan yang kini berusia setahun lapan bulan.

“Saya memulakan BLW kepada Azrie seawal usia lima bulan. Pada masa ini, makanan diberikan kepadanya berbentuk boleh pegang dengan cara dikukus atau direbus seperti lobak merah, epal, pisang, betik dan kentang. Apabila usia Azrie meningkat, saya memperkenalkan makanan bergoreng dan lebih pejal seperti ayam goreng dan nuget. 

“Memang tiada masalah kerana pada usia ini, si kecil sudah pandai memegang barang dan badannya sudah mampu ditegakkan. Ini bermakna dia memang bersedia menikmati makanan sendiri,” katanya yang sering menghidangkan nasi dan sup di rumah.


Malah Azrie suka menghirup sup dengan mengangkat mangkuk terus ke mulutnya.
Bagi menggalakkan bayi makan, Yusrina mempelbagaikan cara masakan. Setiap hari dia menyediakan menu berbeza, namun diulang dua atau tiga hari selepas itu.
Sekitar usia Azrie tujuh bulan, Yusrina memperkenalkan nasi, mi dan spageti kepada anaknya. 


“Lebih menyeronokkan Azrie tidak memilih makanan. Semua yang diberikan kepadanya akan dicuba. Seperti kanak-kanak lain, ada masa dia makan dalam kuantiti sedikit, ada masa dalam jumlah yang banyak. Dia juga boleh makan makanan pedas berbanding kakaknya yang agak memilih makanan,” ujarnya yang bertugas di Klinik Mata, Jabatan Oftalmologi, Hospital Serdang. 

Di samping kepelbagaian dalam masakan, BLW secara tidak langsung melatih pergerakan sensori dan motor si kecil. Ini terbukti apabila Azrie sudah pandai menggunakan sudu dan garfu seawal usia setahun.

“Saya sendiri cukup teruja apabila Azrie mampu memegang sudu dan mencuba untuk makan sendiri. Dia berusaha bersungguh-sungguh untuk memasukkan makanan ke dalam mulut. Walaupun bersepah saya membiarkan saja,” ujarnya.

Bagi si kecil, BLW mampu memberi pengalaman kepada bayi dalam meneroka rasa, tekstur, warna dan bau makanan. Ini kerana bayi sendiri akan menetapkan kadar serta kuantiti makanan yang lebih menarik minat mereka. Secara tidak langsung, BLW menggantikan kaedah lama iaitu menyuapkan bayi dengan puri atau makanan kisar dengan menyajikan pelbagai makanan pejal yang boleh dipegang untuk dipilih.

Tambah Yusrina, ramai ibu bapa termasuk dirinya terbiasa dengan pemberian puri kepada bayi pada usia enam bulan kerana dibimbangi makanan pejal akan menyebabkan bayi tercekik. Bagaimanapun, bayi yang mengamalkan kaedah BLW sangat jarang untuk tercekik. 

Ini kerana mereka tidak mampu menolak makanan ke dalam mulut sehinggalah mereka belajar mengunyah. Ini bermakna bayi akan belajar memegang benda dulu kemudian baru mengunyah. Oleh itu, perkembangan bayi yang seiring dengan sistem penghadaman membantu mereka menguasai makanan pejal.

Sebab itu, penting memastikan bayi dalam keadaan duduk tegak ketika memberi makanan pejal kepada mereka. Jika terdapat makanan yang berada jauh di dalam mulut, secara amnya mereka akan menjerit atau batuk dan meluahkan makanan itu keluar manakala ibu bapa harus berada di sisi anak-anak pada awal usia pengenalan BLW.

“Malah berdasarkan pengalaman saya, Azrie tidak pernah tercekik dan saya tidak berasa takut mengenainya. Apabila sudah membaca buku Baby-Led Weaning, saya membuat persediaan dari segi mental dan fizikal. Lagi pula ketika si kecil makan, Azrie berada dalam pemerhatian saya 100 peratus,” ujarnya.

Nasihat Yusrina, pada permulaan sekiranya bayi menolak makanan pejal, ibu bapa digalakkan untuk memperkenalkannya pada hari berbeza. Jangan sesekali memaksa bayi makan kerana ini menyebabkan mereka jemu atau muak. Selain itu, dalam kaedah BLW, bayi dibenarkan menentukan kuantiti makanan yang mereka mahukan tetapi tidak boleh menambah makanan pada sesi akhir makanan. Ini untuk memastikan mereka menghargai makanan dan tidak mensia-siakan rezeki dengan membuangnya ke lantai.

Ibu bapa juga tidak boleh menggesa anak-anak menghabiskan makanan mereka dan berikan sedikit minuman sepanjang waktu makan. BLW selalunya bermula dengan buah-buahan atau sayur-sayuran kukus. Ini untuk memastikan ia mampu dikunyah biarpun bayi tidak mempunyai gigi. Buah-buahan juga mempunyai rasa semula jadi dan kebanyakan bayi menyukainya.

“Namun elakkan memberi makanan terlarang seperti kekacang kerana boleh menyebabkan bayi tercekik kerana sukar dipegang. Makanan seperti bijirin dan dadih boleh diperkenalkan dengan membenarkan bayi menggunakan sudu sebagai pengajaran makan sendiri,” jelasnya yang mempunyai tiga anak, Azyana Azlan, 6, Azzalea, 4, dan Azrie. 

Banyak kebaikan diperoleh daripada kaedah BLW yang tidak disedari ibu bapa.
Selain menyokong perkembangan motor di bahagian penting seperti koordinasi mata, tangan dan gigi, ia menggalakkan bayi berdikari dan menyediakan persekitaran bebas tekanan ketika waktu makan terutama untuk bayi dan ibu bapa.

“Ini kerana sesetengah bayi tidak mahu makanan pejal apabila disuap tetapi akan makan dengan gembira jika mereka dibenarkan makan sendiri walaupun buat permulaan tidak banyak yang masuk ke dalam mulut mereka,” katanya.



Tip mengelak bayi tercekik ketika makan:


  • Apabila bayi mula menyuap sendiri makanan, pastikan mereka berada di bawah pengawasan ibu bapa. Jangan sesekali membiarkan mereka makan bersendirian.

  • Ketika menyediakan makanan seperti sayur, buah, ikan atau ayam, ibu harus memastikan ia dipotong kecil. Ini bagi memudahkan bayi makan dengan tenang dan selesa.

  • Makanan seperti gula-gula, kacang dan buah-buahan yang keras perlu dielakkan. Anak-anak memang suka gula-gula atau makanan manis tetapi sebagai ibu bapa anda perlu tegas dan cuba mengelak daripada memberikan kepada anak-anak.

  • Buah-buahan berbiji seperti tembikai, anggur dan pear perlu dibuang bijinya terlebih dulu. Buah itu pula perlu dipotong kecil supaya senang dikunyah.

  • Bayi akan makan dengan banyak ketika lapar dan akan berhenti selepas kenyang walaupun ketika itu ibu masih menyuap makanan. Bayi tidak boleh dipaksa untuk terus makan dan ibu harus berhenti menyuap makanan apabila anak-anak sudah kenyang.


  • Sebelum menyediakan makanan, pastikan tangan bersih kerana bayi mudah dijangkiti kuman sekiranya ibu bapa tidak menjaga kebersihan.Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/10Sumber:myMetro

  • Saya pun tak beri anak makan sendiri,takut bersepah...malas nak buat kerja dua kali....bolehlah latih kalau ada anak kecil lagi...

    Nota: Yusrina Mohamat Hata adalah sepupu saya...he he he



    Pesanan:Saja nak kongsi artikel ni buat simpanan di blog saya.

    8 comments:

    1. betul3.. elok bagi dia berdikari :)

      ReplyDelete
      Replies
      1. dni bolehlah praktis kat anak lepas ni ye...baik ni..

        Delete
    2. sikap berdikari patut di dedahkan seawal usia ... tp berpadanan dengan usia anak2...

      ReplyDelete
      Replies
      1. orang kita takut macam2 jadi kat anak2..tu yang tak beri berdikari kat anak waktu kecil

        Delete
    3. assalam..ehem bagus info ni.. :)

      ReplyDelete
      Replies
      1. walaikumsalam...bolehlah share mama..

        Delete
    4. as salam..akak pun x suka anak makan sendiri..
      macam kamu juga akak tak suka tenguk bersepah-sepah dorang makan..malas nak kemas

      ReplyDelete
      Replies
      1. walaikumsalam...ha..ye ke kak..kalau kita suapkan gerenti tak bersepahkan...he he he

        Delete

    Tinggalkan komen jika ada...komen anda tetap akan dibaca walaupun tidak dibalas.Senyum selalu.

    Followers

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...