Thursday, December 30, 2010

Tahniah untuk Fahmi..


Gambar ambil disini

Hah! Tahniah! Untuk kemenangan Malaysia dalam perlawanan bola sepak menjadi juara Piala Suzuki AFF 2010. Jangan tak tahu pula,tiba-tiba saya ter'minat' nak tengok bola sepak. Dua perlawanan bola yang sempat saya tengok( sepenuh perlawanan) adalah Malaysia vs Vietnam dan perlawanan semalam Malaysia vs Indonesia. Dengan kemenangan 4-2.

Jadi saya juga tiba-tiba dah kenal nama pemain Malaysia kali ini. Kali terakhir saya kenal nama pemain ialah Azman Adnan. Lama dah kan.Yang sangat saya kagum kehebatan pemain Malaysia ialah penjaga golnya iaitu Khairul Fahmi Che Mat.(siap nama penuh lagi tu).

Tiba-tiba meledak namanya. Memang dia Hero Malaysia. Setiap kali dia dapat menyelamatkan bola yang menerjah untuk masuk ke gol kita, setiap kali itulah saya menjerit sambil memujinya. Wah! Tiba-tiba je kan saya minat tengok perlawanan bola sepak ni. Bukan tidak minat sebelum ni,tapi tak lah sesemangat semalam. Itupun lebih semangat sebab satu keluarga juga menonton perlawanan tersebut.

Okaylah. Banyak lagi blog yang memperkatakan tentang perlawanan ini. Jadi saya sampai sini sahaja.

Pesanan: Kejuaraan Malaysia Kebanggaan anak Malaysia.

Tuesday, December 28, 2010

Macam-macam berlaku minggu ni..

Antaranya:

1.Menonton perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Indonesia yang memberi kemenangan selesa kepada Malaysia 3 -0. Di rumah kami menjerit-jerit setiap kali gol masuk ke gawang lawan.

Gambar bergoyang menunjukkan mereka sedang melompat-lompat...

2.Melihat kemalangan yang menyebabkan keretaMyvi terbalik. Tidak dapat dipastikan sama ada pemandu dan penumpang cedera atau tidak, kerana saya lalu tanpa memberhentikan kereta kerana sudah ada kereta polis di tempat kejadian. Kejadian berlaku di Bandar Tasik Puteri. Harap-harap tak ada apa-apa terjadi kepada pemilik kereta tersebut.

Kereta terbalik..

3.Makan di sebuah restoran di Bandar Tasik Puteri ,Rawang, Selangor. Dan yang pastinya kami kekenyangan. Sehingga tidak sempat untuk mengambil gambar makanan. Hanya gambar restoran sahaja yang dapat kami ambil. Silalah singgah ke Restoran Tok Wan,pemiliknya orang Terengganu dan sungguh baik hati. Makanannya juga sedap dan harga berpatutan. Restoran ini dibuka dari 7 pagi sehingga 12 tengah malam. Macam-macam adaaaa...


Restoran Tok Wan Selera Kampung di Bandar Tasik Puteri,Rawang,Selangor

4.Hari ke klinik gigi. Kami sekeluarga ke klinik gigi untuk membuat pemeriksaan gigi. hasilnya gigi saya perlu ditampal 2 batang. Dan juga perlu dicuci gigi saya. Hah, berdebar saya pada mulanya. Tapi akhirnya berjaya juga. Saya cuma merasa ngilu sahaja. Tapi ngeri juga. Inilah yang ngerinya selain rasa sakit nak bersalin. Tapi tak cuba tak tahu. Okaylah tu! Sudah bersihpun gigi saya, selesa sungguh.

Ini gigi cik google ye..bukan gigi saya..he he he

Pesanan: Apa sahaja yang kita lakukan jika diiringi dengan niat yan baik maka baiklah jadinya.

Sunday, December 26, 2010

Tip mudah Atasi Stres

senyum dan ketawa untuk mengatasi stres

Ini lah antara maklumat berguna yang diperolehi oleh anak perempuan saya yang mengikuti kem solat baru-baru ni. Oleh kerana saya terbaca risalah yang dia dapat,saya ingin kongsikan bersama anda.Antara tip-tipnya adalah:

KETAWA

Tiada cara yang paling mudah dan berkesan selain daripada ketawa. Ketawa merupakan terapi paling berkesan bagi mengurangkan kesan stres pada siri anda. Malah,ketawa juga membuat hati anda lebih tenang dan lega. Bukan itu sahaja, melihat anda ketawa juga menyenangkan hati orang disekeliling anda. Oleh itu,jangan malu untuk ketawa atau sekurang-kurangnya senyum.

URUTAN SENDI

Kadangkala bebanan kerja yang banyak membuatkan otot-otot badan tegang.Menghadap komputer seharian juga mungkin boleh mengakibatkan anda pening. Lakukan sendiri urutan pada sendi-sendi and bermula pada titik-titik akupuntur, sekitar hidung dan ditepi mata bagi menghilangkan rasa tidak selesa dan letih. Rehat seketika dan urut secara lembut sehingga rasa pening dan tidak selesa hilang.

BERJALAN

Tubuh badan yang stress membuat anda rasa keletihan dan tidak bermaya.Cuba berjalan sekurang-kurangnya selama 10 minit jika anda rasa tubuh badan anda tidak bermaya dengan berjalan,anda dapat mengurangkan tekanan pada seluruh bahagian tubuh badan ketika bekerja.

DOA

Ketika anda stress kelenjar adrenalin tubuh badan mengeluarkan bahan kimia yang berfungsi meningkatkan degupan jantung dan tekanan darah serta menurunkan kekebalan tubuh. Doa merupakan satu cara yang lebih berkesan untuk menghilangkan stress dan sekaligus dapat mendekatkan diri kepada Allah.

Pesanan: jangan stress waktu menaip..saya tengah stress ni waktu menaip entry ni...tapi dah okay..

Saturday, December 25, 2010

Ikhlas membantu

mesin bang jangan tak mesin..
jangan jatuh pulak...hati-hati

Apabila berada di tempat orang pandai-pandailah membawa diri. Begitulah yang kami hadapi apabila bermastautin di negeri orang. Hanya mencari nafkah yang halal untuk meneruskan kehidupan di muka bumi ini.

Jadi kita perlulah ringan-ringankan tangan menghulurkan bantuan sedaya yang mampu. Jika tidak dapat menghulurkan duit,tenaga kita boleh dikerah. Segala apa yang kita lakukan perlulah ikhlas, tidak perlu meminta balasan Begitulah terjadi di kawasan saya, apabila penghuni bercuti, rumput kian panjang. Untuk menanti sekolah dibuka memungkinkan rumput bertambah panjang dan hidupan berbisa pasti berpesta.

Jadi jalan yang mudah dan berkesan, kita harus memulakan kerja-kerja pembersihan di kawasan kita sendiri. Tidak perlu disuruh, ikhlaslah membantu. Letih tidak dirasa.Kesihatan bertambah baik.Bukankah ianya sebahagian daripada senaman.

Pesanan: Bangga dengan sikap sesetengah daripada penghuni kuarters disini yang memesin rumput tanpa perlu diupah.

Friday, December 24, 2010

Kerja orang blog tak reti dosa pahala - Nik Aziz

Selain tu saya jugak baca berita politik ..jom baca

Kerja orang blog tak reti dosa pahala - Nik Aziz

KOTA BHARU 22 Dis. - "Kerja orang blog ini tak reti dosa pahala," demikian kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai pendedahan sebuah blog berhubung dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Selising, Drs. Saipul Bahrin Mohamad ditangkap kerana berzina dengan isteri seorang guru di atas kereta api.
Beliau berkata, blog juga yang telah membuat laporan tidak betul dan mengarut bahawa rumah menantunya, Abdul Ariffhami Ab. Rahman diserbu oleh anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada waktu malam dan anak perempuannya pula bertindak memaki-hamun anggota suruhanjaya berkenaan.

Katanya, SPRM kemudiannya membuat keputusan menutup fail kes berkenaan setelah mendapati tiada kes untuk pertuduhan membabitkan Nik Abdul Aziz dan menantunya itu yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
"Malaysia ini suasana dia, suasana tak reti dosa pahala. Inilah yang menyebabkan hakim syarie ditangkap rasuah.
"Hakim syarie ini belajar syariah dan dia bertugas di mahkamah syariah, adakah masuk akal orang macam ini ditangkap rasuah.
"Inilah suasana Malaysia, macam tak ada agama, baik sikit daripada komunis, komunis tak ada tuhan langsung, tapi kita ada tuhan, buat apa," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz diminta mengulas pendedahan blog papa gomo menerusi klip video di mana seorang lelaki dikenali sebagai Ustaz Saidi Hussin mendakwa telah menangkap Saipul Bahrin di dalam koc orang kenamaan (VIP) kereta api bersama seorang wanita yang didakwa isteri seorang guru ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tumpat.


Pesanan: Petikan berita daripada Utusan Malaysia Online.
Maaflah kepada yang tidak suka membacanya..

Berhati-hati wahai para suami dan lelaki..

Hubungan yang diakhiri dengan perkahwinan


Pernah dengar perkataan zihar? Zahir dan zihar adalah dua perkataan berbeza. Berbeza makna dan ejaan.

Saya ingin kongsi sedikit ilmu yang saya ambil dalam pembacaan saya dalam berbagai buku dan majalah. Jika seseorang sudah berkahwin jangan dilupa untuk menuntut ilmu perkahwinan sebanyak yang mungkin agar sentiasa berada di landasan yang betul.

Apakah makna Zihar? Zihar bererti 'ucapan suami menyerupakan isterinya dengan ibunya atau mahramnya dalam perkara-perkara yang haram'.

Umpamanya berkata si suami kepada isterinya:

"Belakang engkau seperti belakang ibuku atau peha engkau seperti paha ibuku".

Perkataan begini adalah HARAM.Imam-imam mazhab telah sepakat mengatakan bahawa zihar ini adalah haram bersandarkan kepada nas Al-Quran dan ijmak bahawa zihar itu mewajibkan kifarah (denda) iaitu:

  • memerdekakan seorang hamba
  • jika tiada hamba wajib berpuasa 2 bulan berturut-turut
  • jika tak berdaya setelah berusaha dia boleh memberi makan 60 orang miskin, setiap seorang dengan secupak daripada makanan yang mengenyangkan
Jika tidak dibayar kifarah itu maka haram baginya jimak dengan isterinya.
Oleh itu berhati-hatilah wahai para suami dan bakal-bakal suami di luar sana. Jangan di buat main perkara-perkara yang kita anggap ringan ini.

Pesanan: Banyakkan membaca buku-buku agama agar lebih banyak ilmu agama yang dapat kita terapkan dalam dada dan sebagai pedoman hidup kita.

Thursday, December 23, 2010

Hasilnya tidak mengecewakan

Kelihatan si sulung sedang menjadi imam (yang sikecik mengikut je)

Anak yang sulung semasa awal cuti sekolah saya sudah menghantarnya ke kem solat di Sg congkak Hulu Langat. (Sila baca entry apa anak-anak saya buat cuti ni).Maka terisilah dengan segala ilmu selama 2 minggu di sana.

Pulang semula ke rumah, nampak sedikit perubahan yang ketara. Maka saya biarkan dia untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di rumah agar apa yang dipelajari dapat di praktikkan di rumah. Sehingga entry ini ditulis dia masih lagi menjadi anak yang baik dan abang yang baik kepada adik-adiknya.

Antaranya dia sudah boleh melakukan kerja-kerja di rumah tanpa disuruh seperti menyapu dan membasuh pinggan, seterusnya mengajak adik-adik mengerjakan solat berjemaah sementara dia menjadi imam. Okaylah tu!(ala-ala kakak Siti).

Tetapi biasalah manusia ini tidak pernah sempurna sepenuhnya,maka ada juga ketika saya perlu menyuruhnya,biasalah adatnya manusia begitulah. Sedar hanya seketika. Jadi saya perlu mengingatkannya latihlah diri sendiri mengikut jadual yang berdisplin. Masih banyak ruang untuk memperbaiki kesilapan diri.

Pesanan: Bersyukur dengan kurniaan Allah. Anak-anak yang membahagiakan.

Wednesday, December 22, 2010

Tinggal beberapa hari lagi je..


Kelihatan anak-anak bergaya dengan pakaian sekolah mereka

Saya berkesempatan untuk menulis blog dalam tempoh 2 minggu je (lebih kuranglah). Sebab selepas sekolah di buka mungkin masa saya terhad. Saya perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran anak-anak.

Lagipun anak yang kedua akan menduduki tahun 6 tahun 2011, maka saya perlu lebih memberi tumpuan pada pelajarannya. Di kala itu juga saya perlu banyak berkorban untuk bercuti-cuti ke mana-mana. Anak-anak yang lain pun sama juga, saya akan tengok-tengokkan juga.

Cuti panjang kali ni okaylah, saya ada banyak masa sikit. Anak-anak yang besar bergilir-gilir menjaga si kecik tatkala saya mengadap komputer. Ingat boleh menaip dengan tenang ke kalau si kecik duduk kat riba. Habis semuanya ditekan. asyik menjerit je lah kerja saya.

Maka buka sekolah nanti,rutin berubah lagi. Jadi sementara boleh nak menjenguk blog orang lain saya jenguk,dan sementara ada cerita dan ilmu nak dikongsi saya kongsikan. Tapi bukan tak update langsung blog ni nanti, mungkin ambil masa sikitlah. Saya nak tengok macam mana jadual tahun 2011 pula.

Pesanan: Apa-apapun kalian jangan lupakan blog saya ni..

Tuesday, December 21, 2010

Cinta Kirana dah habisss....

kelihatan Galang dan Kirana di akhir episod semalam (20/12/2010)

Akhirnya semua orang dah tahu Kirana menikah juga dengan Galang. Gimik jer tu buat-buat nikah dengan Raka. Ala cerita ni tak tengok sampai habis pun dah dapat agak,tapi cuma kita nak tengok macam mana caranya mereka menamatkan cerita ini.

Selepas ni ada cerita baru bermula 21 Disember 2010 bertajuk "Bukan Diriku". Menarik juga ceritanya. Apa-apapun kita saksikanlah petang ini bermula jam 6.30 petang di astro ria. (iklan tak berbayar).

Pesanan: Saya saja malas nak menulis panjang-panjang hari ni,maka entry ini yang keluar.

Monday, December 20, 2010

Berdoa (part 5) Tanda-tanda Doa Dimakbulkan

Tuan Guru Nik Aziz sedang berdoa...
  • Terasa sesuatu yang menakutkan.
  • Menangis tatkala berdoa (bukan dibuat-buat).
  • Terasa menggeletar beberapa ketika semasa berdoa.
Disamping itu, doa-doa yang selalunya dimakbulkan Allah ialah doa orang yang dalam keadaan berikut:

  • Orang yang terdesak.
  • Orang yang kena zalim.
  • Anak yang berbuat baik terhadap kedua-dua ibu bapanya.
  • Doa seorang Muslim yang tidak berbuat zalim dan tidak memutuskan hubungan silaturahim.

Sebab Doa Tidak Dimakbulkan.

1. Ditangguhkan pada suatu ketika yang munasabah.

2. Kerana Allah mengetahui seandainya permohonan ini dimakbulkan boleh menyebabkan sesuatu yang akan menyusahkan diri pemohon.

3. Berkemungkinan syarat-syarat doa tidak lengkap seperti : Tidak ikhlas, tergesa-gesa, tidak memohon kebaikan, hati yang tidak hadir, makanan dan pakaian daripada sumber-sumber yang haram atau syubhah.

Pesanan: Pastikan kita ikhlas dalam berdoa, jangan dilupa doakan kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia.
Sumber:Buku Indahnya Hidup Bersyariat olehDato'Ismail Kamus dan Ustaz Mohd Azrul Azlen Ab Hamid

Sunday, December 19, 2010

Berdoa (part 4) Tempat Mustajab Berdoa



gambar dari google

Berdoa boleh dilakukan di mana-mana sahaja, asalkan di tempat yang bersih dan sesuai,tetapi yang afdalnya adalah di tempat-tempat berikut:

1. Apabila melihat Baitullah (Kaabah) di Makkah.

2. Ketika melakukan tawaf mengelilingi Kaabah.

3. Di dalam Kaabah.

4. Di sisi Multazam dan Hijr Ismail.

5. Ketika melihat masjid Rasulullah SAW di Madinah.

6. Di sisi telaga zamzam.

7. Di atas Bukit Safa dan Marwah.

8. Di belakang Makam Nabi Ibrahim a.s.

9. Di Muzdalifah pada malam 10 Zulhijjah.
10. Di padang Arafah pada 9 Zulhijjah.

11. Di Mina pada hari Tasriq.

12. Di dalam masjid.

13. Di sisi Jamratul Aqabah pada 11,12,13 Zulhijjah.


Pesanan: Carilah tempat-tempat tersebut. Paling senang didalam masjid.
Sumber:Buku Indahnya Hidup Bersyariat oleh Dato' Ismail Kamus dan Ustaz Mohd Azrul Azlen Ab Hamid

Saturday, December 18, 2010

Berdoa (part 3)Waktu Mustajab Berdoa

gambar dari google


Berdoa boleh dilakukan pada bila-bila masa. Walau bagaimanapun, terdapat waktu-waktu tertentu yang lebih mustajab sebagaimana disarankan oleh Rasulullah SAW sendiri,antaranya ialah:





1. Waktu pagi sebelum terbit matahari dan setelah selesai menunaikan solat Subuh.





2. Tiap-tiap selepas solat fardu lima waktu.





3. Antara solat Zuhur,Asar dan Maghrib.





4. Antara Azan dan Iqamah atau selepasnya.





5. Ketika bangun tidur.





6. Selepas membaca tasyahud akhir sebelum salam.





7. Ketika hendak masuk dan keluar masjid.





8. Antara takbir solat hari raya.





9. Dalam khutbah Jumaat, khutbah hari raya dan khutbah nikah.





10. Ketika menziarahi Makam Rasulullah SAW di Masjid Nabawi.





11. Ketika melakukan sesuatu pekerjaan dan urusan penting.





12. Ketika membaca Qunut bagi solat Subuh dan lain-lain.





13. Tiap-tiap kali mengadakan majlis dan upacara yang tidak berbentuk kemaksiatan dan kemungkaran.





14. Ketika ditimpa kesulitan, gundah gulana dan resah gelisah.





15. Ketika berjumpa dengan sanak saudara dan sahabat handai yang lama berpisah.





16. Ketika hujan turun.





17. Ketika hendak memulakan solat dan sesudah mengerjakannya.





18. Sepanjang malam, terutama sepertiga yang akhir dan waktu makan sahur.





19. Ketika khatam al-Quran 30 juzuk.





20. Ketika sujud dalam solat khususnya pada sujud terakhir.





Pesanan: Carilah waktu-waktu yang disebut di atas. Semoga segala doa kita yang baik-baik dimakbulkan Allah.


Sumber: Buku Indahnya Hidup Bersyariat oleh Dato' Ismail Kamus dan Ustaz Mohd. Azrul Azlen Ab.Hamid.

Friday, December 17, 2010

Percubaan pertama! Tolong tengokkan...


kelihatan didalam gambar -sibongsu (atas) sijelly (bawah)
Kenapa adik saya sibongsu dan sijelly pandai dalam IT? Kenapa? Kenapa? Inilah yang dikatakan pengorbanan seorang kakak terhadap adiknya. Saya memang tak pandai dalam hal-hal internet ni. Mereka berpeluang untuk belajar lebih daripada saya.

Pertama kali saya diperkenalkan oleh mereka ialah Yahoo Messenger.Kemudian Friendster. Mereka suruh daftar.Saya pun daftar. Kemudian tak lama selepas itu ada pulak Facebook. Mereka juga tolong buatkan. Apabila saya sudah mulai menyukai Facebook, mereka memperkenalkan saya pula dalam dunia blog. Saya pun ikut membuka blog. Semuanya mereka yang tolong buatkan. Saya sekadar mengikut sahaja.

Kemudian saya belajar sedikit demi sedikit tentang dunia baru saya iaitu berblogging. Saya menjadi leka seketika. Apabila saya sudah menjelajah sesetengah blog saya semakin teruja. Apakah betul tindakan saya ini? Ha ha ha Tepuk dada tanya sakit ke tak?

Sebenarnya entry ini dibuat sekadar untuk mencuba macam mana nak letak link kat dalam entry saya ini. Akhirnya saya berjaya! Saya hanya tanya sekali je dengan sibongsu. Dan inilah hasilnya. Betul tak sijelly?

Pesanan: Jangan tak tahu anak sulung saya juga pandai dalam IT ni. Tapi segan nak tanya dia.

Berdoa (part 2) Adab dan Sifat Berdoa

gambar dari google

Berdoa ialah suatu ibadah yang mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi supaya dimakbulkan Allah. Antaranya ialah:

1. Keadaan bersih diri sebaik-baiknya berwuduk,bersih pakaian dan tempat serta menutup aurat.

2. Dalam keadaan kusyuk dan merendahkan diri kepada Allah dan menhadap ke arah kiblat.

3. Merendahklan suara dan tidak menganggu orang lain.

4. Jangan menggunakan lafaz doa yang bersajak.

5. Yakinkan bahawa doa yang dipohon itu diperkenankan oleh Allah SWT.

6. Mengulang-ulangkan ungkapan doa yang penting di tempat-tempat tertentu.

7. Memulakannya dengan memuji Allah dan selawat (ke atas Nabi SAW) dan juga mengakhirinya dengan pujian terhadap Allah dan berselawat.

8. Beristighfar (bertaubat) sebelum berdoa.

9. Hendaklah memahami isi dan maksud doa yang dilafazkan.

10. Doa itu bukan bertujuan untuk melakukan dosa, atau memutuskan hubungan silaturahim dan jangan memohon segera dimakbulkan doa tersebut.

11. Memulai doa dengan memohon keampunan untuk dosa diri sendiri yang dilakukan,kemudian untuk saudara-mara beriman.

12. Hendaklah dengan penuh perasaan pengharapan dan jangan cuba mengatakan: " Ya Allah, ampunkanlah daku sekiranya Engkau mahu,rahmatilah sekiranya Engkau inginkan."

13. Mengangkat kedua-dua tangan sehingga ke paras bahu seperti yang dibuat oleh Nabi SAW.

14. Menadah tapak tangan mengarah ke langit dan sekiranya meminta perlindungan,tapak tangan mengarah ke bawah.

15. Berdoa dengan suara perlahan.

Pesanan: Semoga Allah makbulkan doa kita.Amin!
Sumber: Buku Indahnya Hidup BErsyariat oleh Dato' Ismail Kamus dan Ustaz Mohd. Azrul Azlen Ab. Hamid.

Berdoa (part 1)

Berdoa merupakan amalan penting yang dapat menghubungkan insan dengan Allah SWT sebagai penyelesaian segala masalah rohani dan jasmani, pelerai kesulitan dunia dan akhirat.

Allah SWT berfirman:
Maksudnya: Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai-Ku,sesungguhnya Aku terlalu hampir.Aku perkenankan doa orang yang meminta apabila ia berdoa kepada-Ku.

(Surah al-Baqarah:186)

Rasulullah SAw bersabda yang bermaksud:

Daripada Abu Umamah r.a katanya:

Telah ditanya orang akan Rasulullah SAW:

"Ya Rasulullah, manakah dia doa yang paling didengari?"

Rasulullah SAW bersabda,

"Dipenghujung malam yang terakhir dan selepas solat lima waktu."

(Riwayat al-Tirmizi)

Pesanan: Jangan dilupa solat malam selain solat lima waktu.
Sumber: Buku Indahnya Hidup Bersyariat oleh Dato' Ismail Kamus dan Ustaz Mohd.Azrul Azlen Ab. Hamid.

Thursday, December 16, 2010

Selamat berada di rumah semula

kelihatan anak-anak sedang bosan...???

Selepas beberapa hari di rumah mak, kini saya pulang semula ke rumah di Kuala Lipis. Pemanduan saya kali ni sangat berhemah.Lagipun saya memandu dalam keadaan perut sudah kenyang. Jadi mengantuk saya menjadi-jadi.


Namun begitu dengan kecanggihan teknologi sekarang,saya mengurangkan rasa mengantuk saya dengan menalipon adik-adik saya. Ha ha ha, mereka nampaknya turut sama mengantuk,kerana waktu itu menunjukkan jam 4 petang.


Saya memandu dengan kadar 80-90km sejam. Sehinggakan pada satu masa saya merasakan hanya kereta saya sahaja berada di jalanraya. Adakah kereta yang lain memandu laju? Tak perlu pening kepala memikirkannya. Apa yang penting saya selamat tiba di rumah saya.


Suasana di Kuarters Guru masih lenggang. Barangkali mereka masih dikampung menikmati cuti-cuti Malaysia. Cuma hanya beberapa kerat je rumah yang berpenghuni,kerana saya melihat nya pada waktu malam. Bila nampak cahaya dari dalam rumah mereka,pastilah ada penghunikan.


Nampaknya, anak-anak saya merasa bosan sekali lagi kerana masih tiada kawan-kawan untuk bermain. Nasib baik adik beradik mereka sendiri yang ramai itu sudah cukup meriuhkan keadaan.


Tajuk lain:

Sekadar ingin memberitahu satu informasi terbaru yang dapat saya kongsikan. Rupanya

kebanyakan kanak-kanak yang sebaya anak-anak saya ke perpustakaan hanya sekadar untuk membuka FB??? Terkejut saya. Membaca buku jauh sekali. Itulah tinjauan yang dapat saya lihat sewaktu membawa anak-anak ke perpustakaan tempoh hari. Ada apa-apa komen?.
Pesanan: Pening kepala balik nak fikirkan apa yang hendak dimasak...apa susah saya google je..

Monday, December 13, 2010

Sekarang duduk rumah ayah mak di KL

Ayah saya dan si bongsu saya..
Mak saya...

Saya sibuk kalau tinggal di rumah mak. Sebab saya bukan duduk goyang kaki macam adik bongsu saya tu. he he he marah lah dia.. Jadi kalau duduk rumah mak tak banyaklah peluang untuk mengadap komputer. Sebab macam banyak sangat pula kerja.





Kesempatan ini nak bawa anak-anak ke Perpustakaan Negara Malaysia. Bukan selalu dapat pergi. Jadi tunggulah entry seterusnya. Itupun kalau sempat pegang komputer ni. Asyik berebut dengan anak je. Lagi pula anak lelaki baru sahaja balik dari kem. Tentu dia nak menggunakan komputer setelah hampir 2 minggu tidak mengadapnya. Saya ikutkan aje..





Oklah. Jumpa lagi. bye





Pesanan: Pagi-pagi esok nak ke perpustakaan. Untuk mendapatkan tempat parking kereta. sekejap je duduk umah ayah mak...nak balik lipis pula

Sunday, December 12, 2010

Kek Kopi Marmar


Anak-anak bila tak ada apa nak buat kat rumah,asyik makan je lah kerjanya. Tadi minta dibuatkan kek. Mentang-mentang umi pandai buat kek.he he he...
Saya cuba buat juga. Ambil resepi daripada buku Kompilasi Hidangan Kek oleh Nor Aini Zakaria.

Sudukan satu coklat,selangkan dengan merah dan kemudian hijau.Buat sampai habislah...

Bolehlah dibakar


Kek Kopi Marmar


Bahan-bahannya:
250gm mentega
220gm tepung kek
1 sudu teh serbuk penaik
200gm gula kastor

50gm air susu

4 biji telur gred A
2 sudu teh emulco kopi
sedikit pewarna coklat,hijau dan merah

Cara membuatnya:

1. Satukan mentega dan gula kastor. Pukul hingga adunan kembang dan putih.

2. Masukkan telur sebiji-sebiji sambil dipukul hingga sebati.

3. Kemudian masukkan tepung dan serbuk penaik yang sudah diayak sedikit -sedikit sambil dikacau berselang seli dengan air susu.

4. seterusnya masukkan emulco kopi dan digaul sebati.

5. Bahagikan adunan pada 3 bahagian.

6. warnakan coklat, merah dan hijau.

7. Letakkan satu senduk adunan berwarna berselang-seli di dalam acuan. Goyang-goyangkan.

Panaskan oven 180 darjah celcius selam 15 minit. Dalam buku suruh masak hingga 1 jam. tapi sebab saya letakkan dalam loyang empat segi dia jadi nipis sedikit,jadi saya hanya masak dalam 30 minit sahaja,itupun cucuk bahagian tengah untuk menentukan sama ada sudah masak atau tidak.Kalau kering tak melekat kat lidi dah masak lah tu.

Pesanan: Jangan lupa tengok-tengokkan lepas 15-20 minit dah masuk oven tu...takut tiba-tiba hangus lak atas dia.

Saturday, December 11, 2010

Jalan-jalan Kuala Lipis ,Pahang


Jom jalan-jalan sekitar Kuala Lipis. Tengok bangunan-bangunan lama. Ada batu bertanda '0' Kuala Lipis. Banyak lagi. Kita tengok sebahagian dulu.


Ikan Batu di tengah bandar Kuala Lipis

Naik keretapi je lah...

Perpustakaan Awam

Masjid Sultan Mahmud,Kuala Lipis

Masjid Negeri (Madrasatul Firdaus) ...masjid paling lama sejak tahun 1888

Bangunan-bangunan lama

Pesanan: Pelihara bangunan-bangunan lama yang banyak sejarahnya.

Friday, December 10, 2010

Mesej Menarik Hati

Saya mendapat banyak mesej sempena Maal Hijrah. Antaranya mesej berkenaan salam Maal Hirah ni saya dapat dari seorang teman lama yang hampir 13 tahun tidak bertemu. Menarik sungguh bunyi mesejnya,

"Moga-moga Allah jadikan
Subuhmu cahaya
Zohormu gembira
Asarmu bahagia
Maghribmu keampunan
Isyakmu keberkatan
Dan diluaskan rezeki
Dibuka padamu pintu-pintu Syurga tanpa sempadan."

Salam Maal Hijrah...katanya...

Pesanan: Saya balas dan Aminkan !

Surat Yang Menyentuh Hati Seorang Umi dan Baba

Hampir menitis air mata seorang ibu tatkala membaca surat yang dikarang sendiri oleh anak yang telah dikandung selama 9 bulan sepuluh hari. Sejuk perut umi yang sudah bersusah-payah melahirkan kamu ke dunia ini. Tidak sia-sia menghantar kamu ke kem solat walaupun hanya untuk 2 hari 1 malam. Ini hasilnya....(mungkin mereka disuruh menulis surat ini,tetapi apa pun sebab saya tetap menghargainya).




Saya salin semula ayatnya:
Bismillahirrahmanirahim....(dia yang eja sendiri)
terima kasih umi dan baba kerana telah mendidik Athirah dari kecil hingga besar...ampunkan dosa tiyah...Athirah tahu Athirah banyak dosa....Athirah janji Athirah akan belajar bersungguh-sungguh dan Athirah akan rajin selalu...Athirah yakin Athirah akan mendengar kata umi dan baba... dan Athirah yakin Athirah akan sentiasa solat...Athirah akan sering mendengar kata umi dan baba...Athirah yakin Athirah akan menjadi anak solehah...Athirah yakin Athirah akan solat Athirah tak kan tinggalkan solat...Athirah tak kan buat perkara yang umi dan baba tak suka. Athirah akan doakan umi dan baba supaya panjang umur...Apabila Athirah besar Athirah akan mendidik umi dan baba seperti umi dan baba didikan Athirah waktu kecil.Athirah tahu selama ini Athirah dah buat banyak dosa...Athirah tahu Athirah pernah bercakap kasar dengan umi dan baba...tolong maafkan Athirah lagi sekali.Athirah pernah buat umi dan baba sedih... umi dan baba jangan marah Athirah lagi...
Apabila tiyah UPSR tiyah akan mendapat 5A...Athirah akan mendengar nasihat umi dan baba....
ampun maaf akan kesilapan yang tiyah telah buat kepada umi dan baba...athirah sayang umi dan baba....
Pesanan: Athirah anak ke-3 dan baru berusia 9 tahun....katanya lagi kawan-kawannya menulis pendek je,dia yang tulis paling panjang...

Nasi Kerabu Best di Kuala Lipis

Nasi Kerabu yang lazat...

Kalau datang ke Kuala Lipis, sambil-sambil nak cari rumah Siti Nurhaliza tu,jom lah singgah ke Kedai Makan Ku Zah. Kedai Makan Kak Zah(panggilan kepada empunya restoran) ni bersebelahan je dengan stesen keretapi Kuala Lipis. Memang sentiasa ramai kat kedai Kak Zah ni. Tarikannya nasi kerabu dengan ayam bakar atau daging bakar. Memang berbaloi merasai masakannya.

Kak Zah ni berasal dari Kelantan, tetapi menginap di Kuala Lipis sudah lama.Suaminya bekerja di sini. Kak Zah ni sekampung dengan suami. Jadi kebetulan kami berjumpa dan menjadi rakan baik. Tapi bukan sebab Kak Zah ni kawan baik suami, saya memuji masakannya. Tetapi memang saya puji sebab dia masak yang terbaik. Sedap rasanya. Selain daripada nasi kerabu, ada juga nasi lemak, nasi berlauk gulai ikan tongkol dan gulai daging. Memang sedaplah. Semua saya dah rasa.

Tapi saya paling suka makan nasi kerabunya. Memang kenyang. Harganya berbaloi dengan rasanya. Cubalah!

Ini signboard Kedai Makan Ku Zah


Suasana di Kedai Makan Ku Zah

Saya bergambar pertama kali dengan Kak Zah


Pesanan: Kak Zah memang peramah,walaupun pertama kali berjumpa. Macam saya yang pertama kali berjumpanya seperti dah lama kenal.

Thursday, December 09, 2010

Rumah Siti Nurhaliza sunyi...


Kebetulan anak-anak,anak-anak buah dan juga anak jiran bercuti di Kuala Lipis, saya membawa mereka berjalan-jalan di sekitar Kuala Lipis. Dah puas berjalan saya singgah ke perpustakaan awam Kuala Lipis. Suruh mereka isi ilmu sikit kat minda tu.

Jadi jalan-punya jalan, saya terfikir nak bawa mereka melihat secara eksklusif ( ayat yang betul secara dekat) rumah artis popular nombor satu Malaysia iaitu Dato' Siti Nurhaliza. Sebenarnya walaupun saya sudah hampir 10 tahun menginap di sini, baru sekali je saya ke rumah beliau itupun sebab ikut sepupu dia. Kalau tak jangan harap dapat masuk rumahnya.

Ha jomlah tengok gambar-gambar yang berjaya di ambil.Itupun sebelum ambil tengok kiri-kanan juga,takut orang lain tengok kami ni macam 'jakun' lak.


sign board sebelum masuk ke simpang rumah Siti
belakang rumah Siti

pemandangan dari atas bukit

dihadapan rumah Siti
pintu gate rumahnya nampak biasa je kan,dia memang seorang yang merendah diri..kelihatan Aisyah anakku sedang berposing...
inilah laluan ke rumah Siti,biasa je kan...


Pesanan: ada satu info yang menarik...jiran sebelah rumah siti pun nama nya siti juga...kebetulan kot...dan sila jangan jakun...

Tuesday, December 07, 2010

Tanda-tanda Baligh (part 3)


Remaja lelaki mencari arah tujuan hidup

Apabila melangkah ke alam baligh anak lelaki perlu
diberi bimbingan yang sempurna oleh ibu bapa atau pendidik supaya melaksanakan mandi hadas untuk mengangkat hadas besarnya.

Sementara anak gadis pula diberi bimbingan dan ingatan supaya mandi hadas setelah tempoh haid sesingkat
1 hari dan maksimum 15 hari.
Remaja perempuan perlu menjaga kesucian diri


Dengan bermulanya alam baligh bagi lelaki dan perempuan ini,maka berkewajipanlah mereka menunaikan segala hak dan tanggungjawab sebagaimana yang disyariatkan oleh Islam seperti menutup aurat dan menjauhi pergaulan bebas.

Pesanan: Segala yang terbaik boleh dimulakan dari rumah.
Sumber: Buku Indahnya Hidup Bersyariat oleh Dato' Ismail Kamus dan Ustaz Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid

Tanda-tanda Baligh (part 2)


Jika s
eorang anak lelaki telah mencapai usia 12 hingga 15 tahun, maka pendidik atau ibu bapa mestilah menjelaskan kepadanya tentang tanda-tanda baligh.


Wajah anak-anak lelaki yang sedang membesar

Tanda Baligh Bagi Lelaki

Apabila keluar air mani (sudah mimpi syahwat) melalui mimpi yang lain daripada biasa. Mulai saat itu si anak telah baligh (cukup umur) dan mukalaf (dibebani) oleh hukum-hukum syarak sepertimana halnya orang dewasa.

Bagi anak perempuan pula,penjaga juga mestilah menjelaskan kepada anak gadis tentang tanda baligh apabila ia berusia sembilan tahun ke atas.


Tanda Baligh Bagi Perempuan


Wajah anak-anak perempuan yang masih suci.

Apabila mendapati darah haid keluar dari kemaluannya,beerti ia telah balighah dan mukallafah.

Kadangkala tanda baligh anak gadis bukan melalui keluar darah haidnya. Ada juga anak gadis yang tanda balighnya melalui mimpi.

Hal ini dapat dikesan jika mendapati air halus berwarna kuning pada kainnya apabila ia sedar daripada tidur (setelah mengalami kelainan mimpi daripada biasa).


Pesanan: Berwaspadalah pada tanda-tanda baligh kepada anak-anak yang mencapai usia sedemikian.

Followers

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...