Showing posts with label resepi. Show all posts
Showing posts with label resepi. Show all posts

Wednesday, January 22, 2014

Choco Chicken-Ayam bercoklat


Inilah dia Choco Chicken gabungan ayam yang bersalut coklat.Agak-agaknya apa ye rasanya.Hmmm pastilah sedapkan.Apa saja makanan yang menggunakan coklat pasti sedap dan menyelerakan.

Ini hanya terdapat di sebuah restoran di California.Kreatif juga ye.Banyak cara nak guna coklat ni.Tapi bagaimana caranya?Ayam ini dicelup dengan adunan tepung coklat dan digoreng..Kalau macam ni kena reka resepi sendiri ni.

Boleh baca selanjutnya di sini:http://www.merdeka.com/gaya/chocochicken-ayam-goreng-lezat-berbalut-cokelat.html

Pesanan:Nak cuba buatlah,bukan guna ayam je,guna ikan,sotong,udang pun sedap juga ni.

Thursday, January 09, 2014

Kacang buncis bersambal telur


Saya pernah makan kacang buncis sebegini di Genting Highlands satu masa dulu.Ceritanya,saya dan adik bawa keluarga termasuk mak dan ayah,jalan-jalan ke Genting Highlands.Kalau bukan kerana dapat redeem bilik percuma jangan harap kami nak bermalam di situ.

Oleh kerana terlalu banyak restoran makanan segera,tentulah tidak sesuai dengan tekak orang tua saya.Maka berjalanlah saya dari satu gerai ke satu gerai.Akhirnya jumpa juga gerai menjual nasi berlauk.Oleh kerana saya dah tahu harganya pasti mahal,kami sepakat mengambil lauk sayur kacang buncis ni.Ambil pun tak banyak,sekadar cukup untuk makan dengan nasi.Waktu bayar,mak ooiii mahal juga harganya.Saya tak ingat,tapi memang mahal.

Kami berdua habiskan hingga licin sebab harganya mahalkan.hahaha...

Jadi saya suka tengok apa bahan-bahan yang diletakkan,jadi dengan harapan saya akan mencubanya suatu hari nanti.Agak lama juga saya hampir 3 tahun,baru semalam saya baru cuba masakkannya.

Bahan-bahan:
Kacang buncis
Bawang merah dan bawang putih
Cili kering blender
Udang kecil
Telur sebiji

Cara-cara memasaknya:
1.Tumis bawang merah dan bawang putih yang ditumbuk
2.Masukkan cili kering dan masak
3.Masukkan udang kecil
4.Masukkan kacang buncis
5.Masukkan garam dan perasa aji
6.Bancuhkan telur dan masukkan ke dalam sayuran tu,kacau.

Dah siap.tak tahulah betul ke tidak resepi ni,saya main reka sendiri je ni.Kalau ada apa-apa yang kurang mohon kawan-kawan tolong tambahkan.

Makan dengan nasi tanpa lauk lain.Itu pun dah cukup lengkap.

Pesanan:Selamat makan..

Thursday, December 05, 2013

Hujan-hujan ni,masak apa pun laku.Lagi-lagi Roti Sardin Berkeju


Hujan sudah mulai melanda kawasan pantai timur.Sana-sini sudah kedengaran banjir melanda.Semoga semua mengambillangkah berjaga-jaga agar tidak terjadi kejadian-kejadian yang menyedihkan diri dan keluarga.

Saya yang tinggal di kawasan Benta-Lipis pun dah rasa macam duduk di kawasan sejuk,sebab hujan sepanjang siang dan malam.Air di sungai pun dah naik dan bertukar warna menjadi air teh.Sejak-sejak hujan ni kain jemuran pun 3 hari berjemur (kejap jemur kejap angkat),baru boleh kering.Malam-malam pula dah pandai tidur berselimut tanpa kipas dipasang.

Ha,hujan-hujan ni,perut pun sentiasa lapar.Masak je apa-apa,habis licin dimakan.Lagi-lagi cuti sekolah sebegini,anak-anaksemua ada di rumah,makin bertambahlah menu masakan.

Kalau buat roti apa pun laku macam goreng pisang panas!hehehe...Jomlah buat roti sardin berkeju.Google je kat resepi,macam-macam versi ada.Tak tahu siapa yang empunya original resepi.Tapi yang penting sedap dimakan panas-panas.Buat sekali nak buat berkali-kali.

Bahan-bahan asas,sardin,roti,keju....senang je buatnya..kita bakor je....hehehe.Ikut kreativiti masing-masing.
Cubalah ye.

Pesanan: Kalau beli kat kedai dengan anak yang ramai ni,banyak juga duit keluar,kalau buat sendiri banyak juga dapat.Alhamdulillah!

Tuesday, September 17, 2013

Gulai Lemak Ikan Merah yang sangat simple

Ada seketul ikan merah yang tersimpan dalam peti.Habis idea nak masak,masak kari dah sudah,goreng gitu je pun sudah.Jadi hari ni kita masak lemak cili api pula.Mesti sedap.





Bahan-bahan:
1 keping ikan merah (isi tebal ni)
1 labu bawang besar
9 biji cili api (nak pedas tambahlah lagi)
Sedikit kunyit hidup
2 batang serai (kalau besar 1 batang cukup)titikkan je
Santan (1/2 biji kelapa)
1 keping asam
garam dan aji secukup rasa.

Cara memasaknya:
1.Blender bawang,cili api ,kunyit,asam keping dan serai masukkan dalam periuk sederhana besar.
2.Masukkan santan.Panaskan periuk dan kacau-kacau selalu santan tu,nanti pecah minyak pula.
3.Agak-agak dah mendidih,masukkan ikan merah tu,curah2kan santan atas ikan sambil kacau santan.Api kecilkan.
4.Rasa ikan dah masak dalam 10 minit tu,bolehlah masuk garam dan aji,rasalah sesedap rasa.

Siap,makan dengan nasi panas.Lauk tu je hari ni.Tak sempat nak masuk dalam pinggan.amik dalam periuk je...

Pesanan: Masak simple,cepat boleh makan.

Tuesday, September 10, 2013

Rendang Ayam selepas Syawal


Nama resepi ni ialah rendang ayam selepas Syawal sebab dimasak selepas Syawal.Tiba-tiba teringin nak makan rendang ayam,saya pun masaklah.

Bahan utama yang sentiasa ada di dalam peti beku saya ialah kelapa parut dan kerisik.Yang lain tu seperti daun limau purut dan daun kunyit ambil je kat kebun jiran saya.

Bahan-bahan asas yang perlu ada untuk masak rendang ialah:

Bawang merah
Bawang putih
Halia
Kunyit hidup
Lengkuas
Serai

Semuanya saya blender.Masaknya sangat senang,Masukkan santan dalam kuali,bahan blender dan juga ayam.Masak dan kacau sekali sekala hingga hampir kering.Dan keluar minyak sikit  juga penting.Setelah agak-agak hampir kering,barulah taburkan garam,daun kunyit,daun limau purut dan masukkan kerisik.

Tapi tak boleh lawan rondang omak den .Cara masak pun dah lain tau.Masak santan dulu.

Sebenarnya saya tak reti nak sukat-sukat,lalu saya agak-agak je bahan-bahan tersebut.Ikut citarasa sendiri,nak banyak bawang boleh.Cuma petua rendang yang sedap adalah santan yang banyak.Jadi agak-agaklah santan tu ye bergantung kepada bilangan ayam tersebut.

Mungkin bagi yang baru belajar kena semak juga sukatan resepi,selepas dah pandai,boleh agak-agak je.

Pesanan: Selepas masak rendang ayam,saya teringin nak rendang daging pula,lalu saya masak ikut method yang sama.

Wednesday, July 31, 2013

Sambil memasak sambil menambah ilmu-Serambi Ustazah

Saya suka rancangan masakan yang banyak mengajar ilmu agama disamping berkongsi resepi.Ini lah yang terdapat dalam beberapa rancangan masakan terutamanya di TV Al-Hijrah.

Ada suatu pagi saya bersahur,kemudian saya buka TV 1,oh ada juga ye rancangan masakan berbentuk sedemikian.Saya tertanya-tanya siapakah ustazah ni?Sebab saya pun baru pertama kali melihatnya.

Setelah di google beliau ialah Ustazah Wan Habsah,pendakwah  bebas dan penceramah.Selain itu juga beliau seorang usahawan,pengusaha rempah ready made.Patutlah dalam resepinya ada rempah ready made juga.


Saya suka gaya ustazah ni mengacara dan meyampaikan ilmu masakan.Selain itu ustazah juga mengajar bacaan doa yang sesuai digunakan ketika kita memasak.Memberi tips masakan.Mengajar cara masakan orang-orang Arab.


Banyak rupanya doa- doa yang boleh kita baca sewaktu kita sedang memasak agar masakan kita sedap dan elok.Daripada tak tahu kita jadi tahu.

Ustazah ada FB tau..Ni FB Chef Ustazah Wan Habsah

Saya harap semoga rancangan sebegini bukan hanya ada di bulan Ramadan je,biar sepanjang tahun.Isteri kalau nak menambat hati anak-anak dan suami,perlulah amalkan bacaan-bacaan yang ustazah dah ajar tu.

Pesanan: Saya pun banyak belajar bacaan doa ketika memasak dari sahabat saya yang kini tinggal di Terengganu,Suhaila namanya.Dia selalu ingatkan saya.

Wednesday, July 17, 2013

Menu satu lauk satu kuih ...sambal bachang tu yang tak tertahan tu....


Menu saya untuk petang ni.Tak perlu nak lelah kat dapur masak banyak-banyak.Sudahnya tak habis juga.Kalau sambal ikan bilis ni boleh juga naik selera nak makan.

Kuih apam beras tu pun saya buat ikut satu adunan memang banyaklah dapat.Jadi saya agih-agihkan sedikit kepada jiran-jiran dan tinggalkan sedikit untuk kami makan.

Cukuplah tu.lauk tu kalau nak tambah pun untuk anak-anak iaitu telur dadar.Saya ada buat sambal bachang semalam.Buat banyak,makan sikit,lebihnya simpan peti boleh makan lagi esoknya.Penaik selera namanya ni.


Okaylah,saya bukan nak tayang sangat makanan,tapi tujuan saya ikhlas nak beri cadangan untuk anda yang masih pening nak masak juadah berbuka nanti.

Selamat Berpuasa...dan selamat berbuka puasa...

Pesanan: Resepi sambal bachang tu ada dalam Majalah Saji Julai 2013.Cubalah sedap....

Wednesday, March 06, 2013

Minum Petang Bersama Karipap


Dah lama tak buat karipap ni.Bila ada tempahan baru rajin nak buat.Kalau nak makan sendiri malas ye...hehehehe

Baru-baru ni suami menempah 30 biji kuih untuk satu majlis,jadi saya buat inti ubi kentang lebih.Yang lebih tu rajinlah saya masak untuk esoknya.

Petang-petang menikmati karipap dengan air teh o panas sedap juga ye.Ni yang letak kat pinggan nak bagi cantik.Yang lebihnya ada lagi ni.


Resepinya ada saya letakkan di SINI.Bolehlah rujuk balik ye...

Pesanan:goreng tu api sederhana panas tau,kalau panas sangat tak masak kulit dalam tu

Friday, March 01, 2013

Puding Gula Hangus/Puding Karamel


Sedap dimakan jika disimpan dalam peti.



Nak buat pun senang.Nak habiskan pun lagi senang.hehehe


Resepi Kak Tie (jiran saya)

1/2 cawan gula
1/2 cawan air
Masakkan dalam periuk dengan api sederhana.Kacau sehingga bertukar warna keemasan.Tutup api.

Sementara itu blender bahan-bahan berikut:

4 biji telur
1 tin susu cair
2 sd besar gula
1 penutup esen vanila

Masukkan gula hangus tadi dalam loyang.Kena terus masukkan cepat dari periuk,sebab dia cepat mengeras.Selepas itu masukkan bahan blender.

Kukus dalam 1/2 jam.

Sejukkan dan masukkan ke dalam peti.

Pesanan:Baca habis dulu resepi baru buat okay...


Tuesday, February 19, 2013

Lobak Goreng

Saya memang suka tengok rancangan masakan edisi luar negara ni.Biasanya channel 702,703 dan 727 siaran Astro.Diorang ni masak semua nampak sedap.Tapi kalau bab-bab daging tak halal tu,tak ler terliur pun.

Ada sekali tu saya tengok rancangan Rachal Ray 30 Minutes,laju je dia masak.Bersepah-sepah gak macam orang kita masak kat dapur.Cuma tong sampah dia comel je,kalau saya tak buat dah tong sampah macam tu.

Ni satu resepi saya tiru,tapi tak tiru bulat-bulatlah.Sebab saya pun tak berapa ingat resepi dia.Nama pun saya pandai-pandai letak sendiri.Tapi lebih kurang camtu gak lah hasilnya.


Saya potong lobak merah dan ubi kentang(dalam rancangan tu dia guna hashbrown) memanjang tapi pendek sikit. Gaulkan dengan garam,lada hitam.Kemudian tambah sebiji telur.Kacau lagi,letakkan sedikit tepung,asalkan dia melekat.



Sesudah tu,panaskan sedikit je minyak dalam kuali leper. Sendukkan sesudu besar atau lebih sikit dari sudu besar tu ke dalam minyak panas tu.


Goreng kekuningan atau garing, terbalikkan dia.


Dah siap hidangkan,sedap di makan panas-panas.Nak sedap lagi cicah mayonis dan sos cili.Anak-anak pun suka.Yang tak makan sayur jadi nak makan sayur.

Pesanan: Mat saleh ni masak pun main campak-campak juga,tak sukat pun.

Wednesday, January 30, 2013

Terubuk Goreng-Mengancam!


Sedap dimakan bersama nasi putih panas-panas.Sudah cukup masin,tidak perlu kicap.Makan  sehingga tidak sedar nasi bertambah.Jadi awas untuk mereka yang berdiet.

Saya goreng garing dulu ikan.Kemudian ketepikan.Barulah digoreng bawang-bawang dan cili merah atau cili api.Kemudian satukan digaulkan sebati.Fuh!!! Terangkat.Ikan terubuk sederhana besar ni kurang sedikit tulangnya berbanding terubuk yang besar.

Cubalah!

Pesanan:Beli banyak-banyak buat stok jika tiada selera makan.

Saturday, December 15, 2012

Jom Memasak-Ikan Keli Berlada


Mula-mula kena lah tangkap ikan keli hidup-hidup.Ha mana nak tangkap cari sendirilah ye.hehehe...Kemudian siap suruh siang ikan tu,katakan pisau kat rumah tak tajam.(sebenar saya tak pandai siang ikan keli).Bawa balik rumah cuci bersih,kalau saya mak ajar cuci dengan sedikit asam jawa.Selesai bersih ikan garam kunyitkan ikan tu dan goreng garing.


Dah goreng garing ikan keli tu,ketepikan.Sediakan bahan-bahan nak diblender.Cili merah,bawang putih,halia dan serai.Blender semuanya.Bawang merah memang tidak diperlukan dalam resepi ini.Harap maklum.Setelah siap diblender,panaskan kuali yang diletakkan minyak untuk menumis.Tumis sekejap,kemudian masukkan air asam jawa,garam gula dan perasa.Bila dah keluar minyak sikit,dah masak lah tu.Masukkan ikan keli goreng tadi,gaul sebati.Tutup api...kang hangus lak.

Dah selesai.Okay apalagi jomlah makan.oooppsss.....nanti dulu,takkan makan satu lauk je jom gandingkan lauk ini dengan sayur kobis masak lemak,sambal sardin ,tekak orang Selangor iaitu tekak saya,sambal tempoyak dan tak ketinggalan tekak orang Kelantan tekak suami saya...budu weh!!!Apalagi jemput makan!


Kenapa perlu ada sambal sardin?Sebab ikan keli suami tak makan,jadi sambal sardin penggantinya.Makanan tengah hari kami ni tau.Bertambah-tambah nasi nampaknya masing-masing.Berselera sungguh ni.

Pesanan:Makan dengan nasi panas,berasap-asap lagi dengan sambal tempoyak...memang terangkat!!!

Friday, October 19, 2012

Popia Sayur Dan Ayam

Popia ke popiah ye ejaannya?Takpelah asal sebutan tak lari okay lah tu kan.

Kali ni saya nak kongsi resepi mudah dan gerenti sedap buat peminat popia.



Bahan-bahannya:

Kulit popia
Sayur:
Lobak merah (potong dadu)
Taugeh (pilihan,saya tak letak pun)
ubi kentang (potong dadu)

bawang merah
bawang putih          {semua ditumbuk}
cili kering (cili blender je)

isi ayam potong dadu
garam,gula

Cara memasaknya:
1.Goreng ubi kentang hingga empuk (asingkan)
2.Tumiskan bahan tumbuk,masuk ayam kacaukan.
3.Masukkan sayur dan ubi kentang tadi,kacau lagi.
4.Perasakan garam dan gula

Siap!

Ambil kulit popia letak isi dan balutlah ikut gaya anda.Kemudian goreng hingga kekuningan.Makan begitu sahaja pun sedap tanpa pencicah.

Pesanan:Ni saya rajin buat bila nampak ada lebihan kulit popia dalam peti.Dah mengeras sebab tak tutu rapat plastiknya.


Tuesday, October 02, 2012

Pasta Goreng Cendawan

Kadang-kadang bila menonton rancangan masakan di TV,ada satu-satu menu tu senang sangat bila dibuat.Jadi tak salah mencuba.Saya kalau menonton rancangan masakan,salin je dulu resepinya,buatnya tak tahu lagi.Kalau salin resepi pula,main salin cakar-cakar ayam je.

Baru-baru ni mak pernah salin resepi pasta tapi dia hantar sms kat saya bahan-bahan asas.Dia suruh saya cuba buat,kebetulan saya pun tengok juga rancangan yang sama.Maka saya pun mencubanya,sebab bahan-bahan pun ada.





Bahan-bahannya:
Pasta
Udang dan Sotong (saya ganti ayam je)
Bawang putih (ketuk je)
Cendawan Butang (saya guna cendawan biasa)
Sayur Brokoli
Lobak Merah
Cili Benggala
Serbuk lada hitam
sedikit serbuk oregano
garam secukup rasa

Cara Membuatnya:
1.Pasta ikutlah nak guna banyak mana,rebus 7-8 minit angkat dan toskan.
2.Panaskan minyak,tumis bawang putih dan ayam.
3.Masukkan lobak dahulu,kemudian gaulkan.
4.Masukkan sayur brokoli dan cendawan juga cili benggala
5.Setelah itu,masukkan pasta gaul rata.
6.Taburkan lada hitam dan oregano.
7.Perasakan garam.Tutup api.

Mudah jekan.Sebenarnya apa pun bahan yang nak dicampurkan ke dalam pasta atas kreativiti kita je.Ikut suka kegemaran kita mana nak dilebihkan,mana nak ditambahkan.

Pesanan:Suami tak makan jenis -jenis pasta ke,spaghetti ke atau macaroni,bukan selera tekak dia, orang kampung katanya...he he he..saya orang bandar,tak kisah makan apa saja...hehe he

Saturday, September 15, 2012

Nasi Hujan panas pun sedap jugak!


Dah lama tak makan nasi minyak,bila asyik makan nasi himpit,rendang,satay je raya ni.Kalau kenduri kahwin pun sekarang jarang dah buat nasi hujan panas,kadang-kadang buat nasi putih berlauk kampung je kan.

Bila tak pandai buat,kenalah bertanyakan.Jadi saya tanya kawan cara nak buatnya.Mudah je sebenarnya.Saya pun mulalah godek-godek resepi,sambil menanak nasi di dapur.Kejap-kejap tengok resepi.he he he...lucu betul.Maklumlah pertama kali nak buat.

Akhirnya,siap juga.Wah senang je sebenarnya ye.Lauknya ayam masak merah,dalca sayur dan acar timun.Lengkap dah kan.Hmmm laku juga nasi saya tu.Habis licin juga kami sekeluarga makan.Boleh bagi jiran sebelah rumah bawah rumah.Murah rezeki saya nanti. Amin!

Resepinya:

Beras 3 cawan
Air 4 cawan
Susu cair 1/2 cawan
Rempah 4 sekawan
3 sudu besar Minyak sapi (saya guna marjerin je)
Bawang merah,bawang putih dan halia (tumbuk)
Bawang besar (mayang halus)
Garam dan gula
Pewarna makanan

Nota:doublekan sukatan untuk masak banyak.

Cara-cara membuatnya:

Panaskan minyak sapi,tumis bahan tumbuk dan rempah 4 sekawan.Bawang besar mayang.Kemudian dah naik bau sikit,masukkan susu cair dan air.Garam dan gula.Biar menggelegak,masukkan beras.

Nota: Saya tumis dulu dalam periuk lain,kemudian beras yang dah siap basuh saya masukkan dalam periuk elektrik,selepas bahan tumis tadi menggelegak saya masukkan air tumis tadi terus ke dalam periuk elektrik.Tekan cook.Masak seperti biasa.

Sambil tu harus dikacau sekali sekala,supaya sebati.Setelah tanda keep warm naik,titik sedikit pewarna hijau,merah dan kuning.Kacau sebati.Jangan titik banyak sangat,nanti jadi macam warna merah je macam saya punya tu.Tak cantik.

Lauk tu biasa je lah kan.Semua tahu kan.

Pesanan:Kalau pertama kali masak ni,kadang-kadang menjadi,kadang tidak.Alhamdulillah menjadi juga.



Friday, August 03, 2012

Puding Roti


Resepi Puding Roti:

4 keping roti
1 tin susu cair
2 biji telur
4 sudu besar gula
1 sudu kecil esen vanila
sedikit kismis

Cara-caranya:

1.Masukkan telur,gula dan esen vanila,kacau sebati.

2.Masukkan susu cair,kacau lagi hingga sebati.

3.Sapukan butter pada roti dan potong kecil,disusun dalam loyang.

4.Tuangkan adunan atas susunan roti dan tabur kismis.

5.Kukus api sederhana 20-25 minit.

Selepas dikukus sejukkan dalam peti.

Nota:saya dah lupa siapa empunya resepi ni,jika tahu beritahulah saya ye,sebab saya salin-salin je semua resepi dalam buku resepi.Maaf ye
.
Pesanan: Saya punya nipis sebab loyang saya besar,kalau loyang kecil mungkin dapat tebal sedikit.

Thursday, July 26, 2012

Sup Ayam Berempah

Percayalah waktu berbuka semalam saya buat lauk sup ayam berempah dengan telur dadar goreng je.Sangat mudah,sedap dan paling penting jimat perbelanjaan.

Resepi pun banyak dah kat internet...google je jumpalah versi sama je.



Bahan-bahannya:
 Ayam

Bawang Merah
Bawang Putih
Halia
Jintan Manis
Jintan Putih
Ketumbar
Lada Hitam

Bahan tambahan:carot,ubi kentang dan fishball.

Semua bahan ni kisarkan.Anggaranlah dalam sudu kecik jintan2 tu.Saya main campak2 je ni.

Cara memasaknya:

1.Panas periuk.Letak minyak untuk menumis bahan kisar.Dah agak2 masak sikit,masuklah ayam carot dan kentang.Buh air.Biarkan mendidih hingga semua bahan empuk.Akhirnya masukkan fishball.

2.Garam dan aji

3.Taburkan daun sup dan bawang goreng.

Nak sedap lagi buat kicap pedas:

kicap manis
cili api
limau nipis

Dah siap.Makan sup nanti,buhlah kicap pedas sikit,baru terangkatttt!!!!

Pesanan:Makan sup panas-panas sedap.

Sunday, July 22, 2012

Bersama mak ayah,Ramadhan Pertama

Gembira apabila Ramadhan pertama mak ayah sanggup bersama saya dan keluarga menyambut Ramadhan di Kelantan.Itupun setelah mak ayah menziarahi cucu terbarunya.

Kami bertolak sebaik sahaja anak-anak pulang dari sekolah.Manakala mak ayah sudah sampai ke Kuala Lipis awal hari khamis malam.Jadi hari Jumaat jam 1 petang kami bertolak dan sampai ke Kelantan hingga jam 6 petang.

Sempat juga mak bertarawih di Masjid Tuan Guru Nik Aziz.Dah alang-alang mak sampai sana,mak nak merasa bertarawih di Kelantan.



Okay.Sebelum tu omak ado bawokan lauk gulai pisang.Jarang bonar saya makan gulai pisang ni.Kalau mak tak masak,tak merasolah saya.Sobab kalau saya masak tak sosodap masakan omak.Alahai,dah anak ramai pun tak gak ghoti2 masak.he he he...

Omak kato sonang yo masak eh,ayah saya suko sangat lah,masakan orang nogori gak ni.Tanyo gak kek omak,apo rosopi eh...omak kato alah sonang yo,macam masak cili api jo.

nilah yang mak bagitau.

Pisang Kapas-Rebus dan potong.
Santan,cili api,kunyit
Ikan masin Talang

Dah masak santan,cili api dan kunyit dan ikan masin talang,baru masukkan pisang rebus tadi,rasa masinnya dan tutup api.

Aik senang sangat,takde bawang-bawang ke?Tak payah bawang mak kata....he he he

Saya pun dah pulang semula ke Kuala Lipis,mak ayah sudah selamat sampai ke Kuala Lumpur petang tadi.Ada planning pula ni nak berbuka di Kuala Lumpur pula.

Pesanan:Walau macam mana pun masakan mak memang sedap tiada tandingan.

Thursday, June 28, 2012

Ikan Tenggiri Masak Asam Pedas


Saya tahu masak asam pedas ni ada banyak versi.Ada banyak bahan dan ada yang sikit je bahannya.Saya bukanlah pandai sangat masak asam pedas,setakat nak masuk kat tekak saya dan keluarga bolehlah.Jadi saya malas nak letak segala jenis bahan yang kalau orang lain buat memang sedap.Cara memasak pun banyak versi juga.Ini versi mudah saya.

Bahan-bahan saya mudah je:

Ikan tenggiri

Cili kering
Bawang merah,bawang putih
Halia
Kunyit hidup
Lada hitam
Blenderkan je

Serai (titikkan je)
Air asam jawa.

Bahan Tambahan:
Terung,bendi dan tomato

Buat pun mudah je,Tumis bahan-bahan blender,masuk serai.Agak-agak naik minyak sikit,masuk air asam jawa.Masukkan ikan.Perasakan dengan garam.Mudah sangat kalau dah biasa ke dapur tu.

Cubalah!

Kat Melaka tu saya suka makan asam pedas ikan pari,nama gerai dah lupa,tapi memang lauk asam pedaslah,pilih je ikan apa kita nak suruh mereka masak,rasanya dekat dengan Mall.Bukan dalam Mall tau(apa ye nama mall situ?)

Pesanan:Saya selalu test,cuba dan try banyak kali nak buat asam pedas,pernah buat dulu masam sangat,terlebih asam daaa....



Wednesday, June 27, 2012

Jom ke dapur bersama anak-anak

Petang semalam,teringin nak makan donut.Bila bahan ada di dapur bolehlah buat.Lepas uli sana uli sini,anak-anak perempuan pun sibuk nak menolong.Sebenarnya nak cepat.Cepat siap cepatlah boleh makan.Maklumlah buat donut ni nak kena tunggu dia naik dulu baru boleh goreng.Nanti tak jadi pula.

Tetapi bila memikirkan bila lagi nak ajar anak buat kuih ni,maka saya relakan jua.Setelah saya beri contoh lebih kurang cara nak menekap donut ni,mereka pun sambunglah buat sampai habis.

Jom tengok hasilnya.Tidak mengecewakan.Yang penting lembut donut saya tu.Makan panas-panas lagi.

Ini hasil kerja tangan saya...

Ini hasil kerja tangan anak ke 4 berusia 10 tahun (darjah 4)...ok tak?

Ini hasil kerja anak yang berusia 5 tahun...tak percaya ke?harus percaya...

Tak tanya ke kenapa saya asing-asingkan...he he he...yang anak saya usia 5 tahun tu buat,lain macam je cara dia canai doh tu.Kadang-kadang tu sampai terbalik dulang tu.Aik!Ko je lah yang makan nak...tak hingin umi nak makan!ha ha ha...Teruk umi ni kan...

Okaylah tu puas hati juga anak-anak bila berpeluang merasai pengalaman membuat donut.Boleh ajak lagi ni.Sebenarnya anak-anak ni saya dah ajar buat kerja dapur yang ringan-ringan seperti mengupas bawang,ubi kentang dan sayuran.Ajar sikit-sikit dulu.Lama-lama pandailah diorang sendiri.(agaknyalah).

Nak tahu juga ke resepinya?Saya main agak2 je ni.Antaranya,tepung gandum,yis,marjerin,tepung susu,sikit gula dan air untuk menguli.Buatlah sampai jadi doh.Lembut doh tu,lembutlah donut tu.Biasanya kiraan tepung gandum untuk 1 kg-1 paket yis segera.

Lembut macam ni....

Setelah dipotong dua...he he he

Okay minggu ni entry pasal makanan je ye..Jangan muntah2 pula.Dan jangan ingat ni blog masakan.Ni blog campur-campur ye...

Pesanan: Bolehlah bagi jiran sebelah rumah sikit.

Followers

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...