Showing posts with label Kelahiran. Show all posts
Showing posts with label Kelahiran. Show all posts

Friday, April 19, 2013

Bila sekali sekala berkumpul...(lawatan kejiranan)

Minggu ni,saya dah melawat 2 orang jiran.Jiran pertama saya keguguran.Usia kandungan dalam 3 bulan kalau tak silap.Dia telah pun melakukan D&C di hospital.Jiran kedua pula baru sahaja selamat bersalin anak ke 4.         

Sewaktu melawat jiran pertama,saya pergi ramai-ramai bersama 3 orang jiran yang lain.Biasanya kalau melawat jiran-jiran bersalin atau keguguran,memang kaum suami tak ikut sekali.Jadi bila kami berkumpul sekali sekala,macam-macam lah cerita tentang orang perempuan yang kami borakkan.

Masing-masing mulalah bercerita tentang pengalaman keguguran,keadaan di hospital,cerita hal jururawatnya,doktornya...macam-macamlah.Pengalaman jiran saya ni di hospital di sini,katanya perkhidmatan semakin baik.Doktor sangat ambil berat hal pesakit.

Dia menceritakan,diberi 2 pilihan sama ada bius separuh atau seluruhnya.Dia memilih seluruhnya.Setelah D&C dilakukan katanya pesakit tidak boleh bangun 6 jam selepas D&C dilakukan.Oleh kerana tiada siapa yang beritahu,dia bangun sebelum cukup jam,akibatnya kepalanya berdenyut sakit sehingga dia pulang ke rumah.Menurut katanya lagi,doktor marahkan jururawat di situ kerana tidak beritahu pesakit mengenainya.       

Kemudian selang beberapa hari,saya melawat pula jiran yang baru melahirkan anak ke 4.Sekali lagi hanya kaum perempuan je yang melawat.Bermulalah cerita masing-masing bertanyakan keadaan jiran,kemudian mulalah masing-masing berkongsi pengalaman bersalin.Macam-macam versi....hehehe..

Jiran saya ni pula,katanya bersalin awal beberapa minggu.Apabila dia dapati perutnya mengeras sehari suntuk,dia memberanikan diri ke hospital untuk diperiksa.Setelah ECG (untuk dengar denyutan jantung bayi)keatas perutnya dilakukan didapati denyutan jantung bayinya tidak berapa elok.Lalu terus dia ditahan,dimasukkan ubat untuk mempercepatkan kontraksi dan dimasukkan ke bilik bersalin.

Menurut katanya lagi,setelah bukaan sudah semakin besar,jururawat menyuruhnya meneran jika rasa sakit.Tetapi dia tidak merasa sakit,jadi bagaimana dia hendak meneran.Katanya lagi dia tidak terasa seperti hendak melahirkan.Terpaksa jururawat membantunya dengan mengusik-usik sedikit perutnya,agar bayi turun cepat.Akhirnya bersalin juga.

Ada juga ye,dikalangan wanita tidak merasa seperti hendak melahirkan walaupun bukaan sudah besar.Saya buat andaian yang bayinya mungkin tidur ketika itu.Tetapi bahaya jika masih tidak keluar kan.Perlu bantuan bidan yang pakar.

Inilah antara aktiviti saya minggu ni.Masa nilah dapat berkumpul dan berbual lama sedikit dengan jiran-jiran.Maklumlah masing-masing sibuk.Ada yang jaga budak (macam saya),kerja cikgu (balik lewat),sibuk dengan urusan anak-anak dan macam-macam lagi.

Pesanan:Eloklah ziarah menziarahi untuk kenali jiran-jiran anda.Jangan lupa bawalah sedikit buah tangan.

Tuesday, October 23, 2012

PCOS (Sindrom Ovari Polisistik)- Punca Gagal Untuk Hamil



Saya terpanggil untuk berkongsi penyakit Sindrom Ovari Polisistik/Polycystic Ovarian Sydrome (PCOS).Ini kerana salah seorang jiran saya sukar untuk hamil kali ke 2,dan setelah berjumpa doktor dia antara pesakit PCOS ini.Kalau saya cari di dalam google,ini bukanlah penyakit tetapi lebih kepada sindrom.

Sumber Gambar: di sini

Masalah jiran saya ni,dia ingin menambah lagi anak setelah anaknya yang sulung berusia 2 tahun,namun setelah berusaha dia menemui jalan buntu.Akhirnya bertemu doktor untuk mengetahui permasalahan yang dihadapinya.Aneh juga,dia bukan tidak pernah hamil dan melahirkan,tetapi usaha untuk anak ke 2 tidak berhasil.Dan salah satu masalah yang sering dia luahkan pada saya ialah kitaran haid yang tidak menentu.

Saya pun baru tahu tentang sindrom ini,kalau tidak dia menceritakan pasti saya tidak tahu wujudnya penyakit seperti ini.Mungkin ramai lagi wanita di luar sana tidak mengetahuinya.

Memetik petikan akhbar mengenai PCOS ini ,PCOS ialah gangguan hormon paling tinggi dikalangan wanita yang berada pada peringkat subur.Ia juga menjadi salah satu faktor ketidaksuburan dalam kalangan wanita.

Antara gejala-gejala sindrom ini:

1 .Haid tidak teratur atau lewat kedatangan haid.
2. Hiperandrogenisma (keadaan di mana berlaku peningkatan hormon androgen,sejenis hormon kaum lelaki)
3.Ovari polisistik (iaitu sekurang-kurangnya satu ovari mempunyai minima 12 telur (follilkel) atau saiz ovari telah membesar.

Namun demikian PCOS masih merupakan satu sindrom dan dengan itu diagnosa PCOS tidak TERIKAT semata-mata kepada tiga kriteria di atas.

Dengan kata lain PCOS boleh menggangu proses ovulasi dan penghasilan telur yang berkualiti dari ovari.Ovari yang tidak bermasalah biasanya menghasilkan satu folikel matang setiap bulan sebelum dilkeluarkan bagi proses persenyawaan di saluran falopia.


Sukar sebenarnya untuk kita fahami,tetapi itulah dia penyakit PCOS antara punca ketidaksuburan di kalangan kaum wanita.Dan menurut kajian,20 peratus wanita berusia lebih dari 20 tahun mengalami masalah ini manakala lebih 40 peratus yang mempunyai masalah kesuburan adalah disebabkan PCOS.

Jiran saya juga pernah juga merungut tentang pertambahan berat badan mendadak walaupun baru melahirkan seorang anak dalam usia muda lagi.Rupanya ia juga adalah antara permasalahan sindrom PCOS.

Berikut ialah masalah lazim yang Dr Saravenun Velu  lihat seperti ditulis dalam blognya:

1.Pertambahan berat badan mendadak (sekurang-kurangnya 5 peratus) sering berlaku walaupun wanita-wanita ini tidak mengalami pertambahan nafsu makan.

2.Ahli keluarga atau diri sendiri mengidap penyakit Diabetes(kencing manis).

3.Peningkatan pertumbuhan bulu roma yang tidak menyenangkan-roma makin menebal,hitam dan kerinting.Mula tumbuh di bahagian yang sensitif seolah-olah ada pertumbuhan misai halus atau janggut.

4.Central Obesiti-kaki dan tangan tampak slim,tetapi lemak berkumpul di kawasan dada,abdomen dan
punggung menyebabkan wanita hilang shape(bentuk badan)...maaf saya bukan menghina kaum wanita..p/s:doktor yang kata ni tau...

5.Kurang subur..jika mengandung mudah gugur.

Lagi petikan akhbar,

Rawatan PCOS ini juga bergantung pada usia wanita dan keinginannya untuk hamil.
Dr. Nik Hazlina menjelaskan, rawatan penting untuk mengurangkan risiko kanser rahim, terutama jika kitar haidnya terlalu lama dan mengalami perdarahan yang terlalu banyak.


Selain itu, penghidap PCOS juga memerlukan rawatan jangka panjang dan motivasi yang tinggi dalam dirinya sendiri.


"Ubat-ubatan sahaja tidak akan membantu penghidap PCOS, malah setiap orang juga perlu berusaha untuk mengubah gaya hidup ke arah yang lebih sihat," tambahnya.


Artikel Penuh di sini

Punca PCOS ni masih belum diketahui,tetapi ianya juga berlaku kepada sanak saudara terdekat tetapi ia juga bukanlah penyakit keturunan.Eloklah kaum wanita ambil berat dengan perubahan diri secara mendadak seperti kitaran haid yang tidak teratur dan juga pertambahan berat badan.


Menarik betul bila saya cuba mencari banyak maklumat tentang PCOS ni.

Banyak lagi maklumat tentang PCOS ni jika anda mencari lebih banyak info di internet.Saya sekadar berkongsi sebahagian sahaja.

Saya simpati dengan keadaan jiran saya itu,seringkali dia berkata "kak saya nak anak lagi,tapi tak boleh"...sayu je.Apabila saya beritahu si polan-polan ni mengandung,dia pun kata "ala.kak bestnya".Dia juga lah yang menyarankan saya mengetengahkan penyakit ni di blog saya.

Tak mengapa, kalau saya baca tentang PCOS ni kehamilan masih boleh berlaku jika mengikut rawatan yang bersesuaian.Dia pun masih lagi berjumpa doktor untuk rawatan sesuai dengannya.

Pesanan:Seronok bila ada anak ramai ni,macam saya..macam-macam ragam,sangat menghiburkan.

Wednesday, July 25, 2012

Kelahiran di Bulan Ramadan

Walaupun di kejauhan,jauh dari keluarga,FB (facebook) menjadi satu ikatan yang boleh mengukuhkan ikatan kekeluargaan.

Anak saudara suami yang kini masih belajar di Cairo,Egypt..sudah pun selamat melahirkan anak sulung lelakinya pagi semalam.Akibat anak yang terlalu besar 4kg,maka pembedahan terpaksa dilakukan.Alhamdulillah dapat juga kami melihat anaknya walaupun dia melahirkan anak di hospital Mesir sana.Ada saya cerita di sini tentang kehamilannya.

Bertuah anak ini sangat disayangi semua walaupun masih di dalam perut ibu.Semua sama-sama mendoakan keselamatan anak ini.Sehinggalah lahir,tidak putus-putus,keluaraga,sahabat handai menghantar ucapan tahniah.Nu'man ni lah cucu saudara terbaru kami.Rasanya tahun depan baru boleh balik Malaysia.Katanya ibubapanya ada peperiksaan yang perlu dihabiskan.


Wah...orang lain dapat cucu,saya dan suami pun terpalit juga dengan pangkat atok dan nenek.Tua dah saya hu hu hu...Tok ayah pun bertambah cicitnya...Seronok benar saya lihat reaksi keluarganya di Kelantan tu.Dengar kata tersengih-sengih Tokku  dan Tok ayah melihat gambar cucunya.Tapi sayang sekali jauh untuk didakap,dipeluk dan dicium.Takpe,cuti sekolah ni khabarnya mereka nak terbang ke sana.

Tahniah!Beruntungnya dapat mak dan ayah awak Nu'man,sanggup berkorban apa saja demi anak tercinta.Terpaksa berjauhan dengan mak ayah,terpaksa belajar dengan mengusung awak ke hulu hilir dalam perut....tapi sangat berbaloi!

Pesanan:Seronok,mengandung di Mesir,bersalin di Mesir pada bulan Ramadan,membesar seketika di Mesir ,suasana yang diidam semua.

Friday, July 20, 2012

Akhirnya Selamat Melahirkan....

Entry saya yang berdebar-debar kini sudah lega....lihat sini dulu.

Akhirnya anak yang dinanti-nantikan oleh kami sekeluarga berjaya juga menjengah muka bumi Allah ini dengan selamat.Alhamdulillah.Syukur kepada Allah swt.Gembira tak terkata.Adik saya berjaya juga mengharungi detik-detik terindah kelahiran  itu.



Bertambah dah cucu mak dan ayah.Ada 15 orang semuanya termasuk baby adik yang baru ini.Beraya dengan orang barulah kali ni.Berikut sedikit sedutan saya ambil dari FBnya.


Lahirnya jam 1.44pm hari Khamis 19/7/2012 bersamaan 29 Syaaban 1433 H,di Pusat Perubatan dan Bersalin UMRA,Shah Alam,Selangor.

Tahniah buat pasangan ini,kami doakan agar mereka dapat mendidik anak mereka menjadi anak yang soleh.Amin!

Lega sudah!Selamat Berpantang!Pantang wei...jangan tak pantang...dan selamat menggantikan puasa selama sebulan..he he he

"Sakit tak?", tanya saya...".Sakitlah!", jawab adik..hmmm tersenyum saya.

Pesanan:Saya masih belum sempat melawat,maklumlah duduk jauh.Tunggu Maklang ye nak..he he he
saat ini saya dalam perjalanan ke Kelantan untuk bertarawih di sana.

Thursday, July 12, 2012

Kelahiran sulung yang dinanti

Bagi pasangan yang sedang menanti kelahiran sulung,pasti tak sabar-sabar lagi nak tengok baby keluarkan.Ramai saya tengok bakal ibu ni sangat teruja nak menyambut kelahiran anak pertama mereka.Saya pun tumpang seronok baca kisah-kisah mereka.

Sekarang ni banyak option untuk meluahkan,mengabadikan pengalaman mengandung anak sulung.Antaranya facebook dan blog.Dulu-dulu saya takde blog dan FB.

Lihat adik saya,dah siap senarai keperluan-keperluan yang sepatutnya.Dah 38 minggu,lagi dekat lagi terasa lamanya nak keluar baby tu kan. Ini antara yang dicoret dalam blognya:


Yang ini pula kata-kata yang diluahkan dalam FBnya.(kliklah kalau nak tengok jelas ye)


Ini saya dan adik...
Gambar cantik yang telah disnap oleh anak saya Anis...ishhh...saya tudung biru ye,jangan bertukar dengan orang mengandung pula he he he

Yang ini pula anak saudara yang tinggal di Mesir sedang mengandung anak sulung,juga dah 38 minggu...




Saya pulak teringat waktu mengandung sulung juga bila lihat suasana begini,padahal dah lama sangat...tapi memori tetap di hati..ada saya kisahkan di sini pengalamannya.

Pesanan:Memang sakit waktu melahirkan,tetapi bila je lihat muka baby,semua kesakitan lenyap.


Saturday, June 02, 2012

Makan-makan lagi

Malam tadi apalah mimipi adik ipar saya nak belanja kami sekeluarga makan.Sedangkan dia masih tak sihat sebab demam.Tapi apakan daya kami,takkan nak menolak rezeki kan.He he he

Disebabkan dia pun tak tahu kat mana nak belanja kami makan,suami(abang dialah tu)ajaklah makan kat sebuah restoran ni.Saya suka nama restoran ni.Namanya Restoran Slera Puok Kito,terletak di Padang Tembak,Kelantan,Maknanya restoran selera orang-orang Kelantanlah tu.

Waktu singgah sini,memang ramai orang di dalam walaupun disediakn tempat makan di luar restoran.Rupanya geng-geng lelaki sedang tengok perlawanan bola antara Malaysia dan Filipina.Jadi hasrat saya nak menikmati angin kat luar restoran terbantut,bila suami ajak makan didalam.

Orang nak belanja kan.Saya dan dua anak dara memilih minuman buah-buahan.Dari kiri,laici bandung,carot susudan jus epal.



Part order makananlah saya paling menyampah ngan anak-anak saya.Asyik order nasi goreng je.Order lah makanan lain.Nasi gorengkan biasa je.
Tapi yang penting,harus bergambar dengan makanan...

Saya mesti order yang kaw-kaw punya.Char Kuey Teow Biasa.Kaw tak?Sebenar ada seekor je udang,tapi sebab resdung,saya bagi kat anak udang tu.

Yang lelaki sibuk menonton bola.Ada saya kisah?Saya makan jelah dulu dengan anak-anak.Bersorak kuat juga diorang tu.

Apa yang dapat saya katakan di sini,rakyat Kelantan sangat berbangga dengan bahasa ibunda mereka (loghat),jadi apa salannya mereka gunakan untuk diabadikan di restoran diorang kan.Memang bestlah!

Pesanan:Adik ipar tidak mahu gambarnya diambil kerana takut ramai yang suruh dia belanja makan pulak.he he he...

Tuesday, March 06, 2012

Kek Harijadi Warna-Warni

Hari Isnin (semalam) genap dua tahun anak ke 6 saya merangkap anak bongsu saya.Maka oleh kerana kami sibuk,jadi tak sempat nak buat jamuan hari lahirnya.Saya pula nak keluar cari kek pun tak berkesempatan.

Oleh kerana bahan-bahan dah ada,bolehlah buat kek yang ringkas untuknya.

Saya tengok blog-blog lain sibuk buat warna-warni kek diorangkan..Apa susah,dengan resepi kek span biasa pun saya boleh buat.Sebab tambah pewarna je kan.Jom tengok saya buat kek.Resepi google je lah ye..Saya cuma nak beritahu macam mana warna-warni itu terjadi je..

Bagaimana kek ini terhasil?he he he

Setelah dipotong akan menjadi begini.Tertarikkan,Budak-budak suka warna warni ni.


Inilah potongan dari bahagian di atas.


Jom tengok sini pula.
Mula-mula dah bahagi beberapa bahagian warna,bakarlah satu-satu,kemudian lapiskan dengan krim antara satu lapis ke satu lapis.

Buatlah sampai habis lapis-lapis warna tu.Begitu asyik saya melakukan selapis demi selapis.Letih tau,nak tunggu sejuk dulu,dahlah bekas satu saiz tu ada satu je.



Dah siap,krimkan semuanya.Biar tutup semua kek tu.Krim ler kemas-kemas ye,bawah ni kurang kemas sikit.Tapi okay je...he he he


Hiaslah mengikut citarasa anda.Saya suka warna-warni di luar juga...


Inilah birthday girl nya...Arissa (baju belang) dan kakaknya Anis  tolong pegangkan pisau kek.
Selamat Hari Lahir Arissa!

Pesanan:Kasihan anak-anak,dah lama umi tak buat jamuan untuk kawan-kawannya.Masalah masa yang sangat sibuk.Tapi umi tetap luangkan masa buat kek ni.

Friday, March 26, 2010

Pengalaman Mengandung dan Melahirkan Anak Sulung

Saya teringin untuk mengimbas semula kenangan sewaktu saya mengandungkan dan melahirkan anak pertama. Pengalaman tersebut sangat indah dan istimewa.

Kali kedua disahkan hamil, saya dan suami amat teruja. Maklumlah di awal perkahwinan saya pernah keguguran kandungan berusia 5 minggu, maka kehamilan kali ini sangat kami nantikan. Saya mulai menghadapi alahan selama 3 bulan pertama. Kebetulan saya masih belum bekerja lagi, jadi saya lebih banyak duduk di rumah.

Alahan yang saya alami amat teruk. Setiap makanan yang masuk ke dalam mulut saya walaupun pada mulanya saya makan dengan seleranya akan termuntah juga akhirnya. Bayangkan kepahitan mulut yang saya rasai hingga ke tekak membuatkan saya rasa lebih mual. Seringkali juga saya hanya muntah lendir berwarna hijau yang amat pahit rasanya jika saya tidak makan sesuatupun.

Jadi berat badan saya turut menurun mendadak dalam jangka masa 3 bulan tersebut (mungkin dalam 2kg). Saya hanya banyak terbaring dan kadang-kadang hilang selera makan. Apa yang saya lakukan untuk menghilangkan mual dan muntah hanyalah makan asam dan minum air bergas. Tapi itu hanya bertahan untuk sementara sahaja. Saya tetap muntah seperti biasa.

Setelah genap 3 bulan, segala alahan tersebut hilang terus. Dan selera makan saya bertambah-tambah. Kali ini saya mengidam bermacam-macam makanan. Oleh kerana suami sayangkan saya (maklumlah mengandung anak sulung) suami tetap mencari apa yang saya inginkan. Tapi saya tidaklah mengidam yang bukan-bukan. Cuma saya amat suka makan makanan segera seperti burger.

Pernah sekali saya mengidam hendak makan pizza.Kebetulan hujan lebat, suami pula pada waktu itu hanya memiliki motor. Kami berdua tetap meredah hujan pergi ke bandar dalam keadaan basah kuyup. (susahkan)Maka dapat jugalah saya makan pizza. Bukan makan banyakpun.Balik ke rumah saya muntah semuanya.

Satu lagi yang amat saya gemar ialah minum air bergas. Suami tak pernah lupa membeli untuk saya jika kehabisan stok di rumah.(mungkin ini sebabnya anak saya dilahirkan besar, kata oranglah). Berat badan pun mulai bertambah.

Sehinggalah kandungan saya cukup 9 bulan. Saya dijangka melahirkan anak pada 7 April 1998 (tarikh ni adalah hari lahir saya), tetapi pada hari itu saya hanya turun tanda iaitu turun darah sedikit demi sedikit. Saya ke hospital dan diperiksa oleh doktor, tetapi hanya disuruh masuk ke wad sahaja. Mungkin belum masanya.(saya tidak berani bertanya lanjut,faham-fahamlah perangai jururawat waktu tu, mulut mereka berbisa daripada ular). Jangan marah ye jururawat yang lain. Tidak semua begitu,segelintir sahaja. Saya juga ada cerita tentang jururawat yang baik(lain masa lah saya cerita ye).

Sepanjang di dalam wad,saya tidak boleh ditemani sesiapa,jadi suami terpaksa pulang ke rumah dahulu. Keesokan harinya, darah yang keluar semakin banyak setiap kali saya ke tandas. Sakit? Mestilah saya merasa sakit setiap kali darah keluar. Tetapi saya tidak berani memberitahu jururawat.Saya takut dimarahinya. (waktu tu saya muda lagi,tak tahu apa-apa).

Sehinggalah ada seorang kakak ni(dia juga tunggu masa untuk melahirkan,terima kasih ya kak!) yang prihatin melihat keadaan saya menahan sakit,dia yang memanggil jururawat supaya melihat keadaan saya. Saya pun diperiksa dan doktor memecahkan air ketuban saya dan terus dimasukkan ke dalam bilik bersalin. Saya tidak dapat menghubungi suami kerana waktu itu saya tidak ada 'handphone'(susah lagi kan). Jadi saya berserah sahaja pada Yang Esa.

Tetapi kalau tidak silap saya waktu itu hospital kerajaan tersebut tidak membenarkan suami menemani isteri di dalam bilik bersalin. Jadi saya bersendirian melahirkan anak disamping doktor dan jururawat.


Sakit perut saya semakin kuat. Memulas-mulas.Setiap kali saya rasa nak berak (teruk betul ayat saya), saya memanggil jururawat. Apa yang jururawat lakukan hanyalah membawa bekas untuk menadah berak saya. Tapi tak juga keluar.Dua tiga kali jugalah saya memberitahu jururawat saya tak tahan ,ingin meneran. Dan pada kali ketiga itulah baru saya nampak betapa kelam kelabutnya jururawat memakai sarung tangan dan memanggil doktor.
Apa yang saya dengar waktu di dalam kesakitan yang amat sangat adalah suara jururawat berkata

"ha teranlah,tadi kata nak teran sangat" (Lihat betul tak saya kata tadi,bisanya mulut!)

Tanpa mengendahkan suara itu (kerana saya juga pejam mata)saya terus meneran sekuat hati.

"jangan angkat punggung" ada lagi yang bersuara.

(mungkin saya tidak sedar angkat punggung waktu tu).Ingat tu jangan angkat punggung,nanti koyak.

Yang menggelikan hati adalah tanpa saya sedari saya telah memegang tali pinggang seorang doktor dengan kuatnya.( yang berdiri di sisi kiri saya).Siapa suruh dia ada di situ. Tepat jam 12.01 tengah hari, 8 April 1998, saya selamat melahirkan anak seberat 3.5kg,anak tersebut ditunjukkan pada saya.Dan dia adalah lelaki. Jadi saya menahan sakit tadi lebih kurang selama 4 jam. Mungkin masa itu biasa bagi kelahiran pertama. Saya pun tak pasti. Lain orang lain pulak masa sakitnya.

Jadi saya rasa itulah pengalaman menarik! (menarik ke menyeramkan?he he he) yang dapat dikongsi buat panduan bersama. Satu lagi tabiat yang biasa saya lakukan sewaktu di bilik bersalin untuk menahan sakit,saya luruskan kaki dan menggoyangkan kaki kanan saya sambil membaca ayat-ayat Al-Quran yang saya hafal. Alhamdulillah kurang rasa sakitnya.

Sekali lagi saya tak jamin jika anda mencubanya (menggoyangkan kaki tu).Tetapi dengan mengingati Allah dan membaca ayat- ayat Al Quran adalah antara caranya yang perlu dipraktikkan oleh kita umat Islam. Amin!

Kelahiran Anak Songsang...

Saya melahirkan kesemua anak saya dengan bersalin biasa dengankeadaan anak di dalam perut saya kepalanya di bawah iaitu keluar kepala dahulu,kecuali anak saya yang ketiga.

Nak dijadikan cerita, pada tahun 2001 anak saya yang ketiga telah dilahirkan songsang. Tapi bukan keluar kaki dulu, keluar punggung dulu...Kata orang-orang tua dahulu 'lipat kajang'. Saya mengandung sudah cukup 40 minggu. Tapi telah lebih hari sehari. Perut saya mulai sakit. Saya pun 'serah diri' di hospital. Apalagi mestilah diperiksa 'jalan'nya.

Terus saya diperiksa oleh seorang doktor di situ. Waktu malam pula tu. Oleh kerana belum lagi waktu untuk bersalin,maka saya dimasukkan ke wad. Keesokan harinya pada waktu pagi, saya diperiksa lagi. Mungkin sudah hampir masanya.Air ketuban saya pun dipecahkan. Saya pun dimasukkan ke bilik bersalin. Waktu ni lah perasaan saya berdebar-debar. Sedangkan saya masih belum sakit perut yang kuat.

Setelah dimasukkan air melalui urat tangan saya (mungkin nak beri sakit cepat,mungkin kot), saya masih belum lagi bersalin. Macam mana nak bersalin kalau tak sakit. Saya disuntik lagi ubat melalui air yang bergantung tu. (nurse ngan doktor tau lah apa bendanya). Dalam beberapa jam,saya masih belum sakit kuat lagi. Menurut doktor saya boleh bersalin biasa tanpa melalui pembedahan.


Pada ketika itu suami saya dibenarkan masuk menemani saya. Kami berbual seperti tidak ada apa-apa berlaku di dalam bilik bersalin itu. Tidak ada rasa cemas, risau atau khuatir. (sama je maknanya kan) Doktor datang lagi untuk memeriksa jalan. Pada hematnya saya akan bersalin dalam pukul 11 pagi. Waktu itu jam menunjukkan lebih kurang pukul 8 atau 9 pagi (tak berapa ingat).

Oleh kerana lambat lagi dan saya pun belum merasa sakit sangat. Suami keluar dahulu mencari sarapan paginya. Setelah setengah jam suami saya keluar, tiba-tiba saya mula merasa sakit. Perut rasa memulas. Saya pun mulalah menjerit memanggil jururawat.

"Misi! Misi!...Saya rasa sakit sangat perut ni".

"Rasa nak berak" Ish teruk betul saya.


Tapi itulah yang saya rasa. Maka doktor pun dipanggil. Setelah doktor memeriksa saya sekali lagi. (sebenarnya dah banyak kali di periksa 'jalan'). Saya pun disuruh bersedia dengan posisi untuk melahirkan anak. Ala agak-agak lah.

Saya pun disuruh meneran. Mungkin doktor sudah pun nampak punggung anak saya. Setelah saya meneran sekuat hati, tiba-tiba doktor menyuruh saya berhenti meneran. Eh! ada pulak suruh berhenti,padahal saya dah tak tahan lagi sakitnya.

Rupa-rupanya dia mahu mengeluarkan kedua belah kaki anak saya dahulu. Tapi dalam masa dia mengeluarkan kaki anak saya, saya terteran juga. Sebab dah tak tahan sakitnya. Menjengil mata doktor memandang saya.Garang jugak doktor ni. Setelah tu, barulah doktor suruh saya meneran sekali lagi, hingga keluar semua tubuhnya.

Setelah selamat keluar tepat jam 10.38 pagi,tanpa menunjukkan pada saya anak tersebut, jururawat terus membawa keluar anak saya. Mungkin tali pusatnya bebelit di leher. (anggapan saya sahaja,kerana saya tak bertanya lanjut). Malumlah saya sudah keletihan.

Tapi saya terdengar jururawat berbual sesama mereka. Tapi tak pastilah sama ada yang dibualkan anak saya atau anak orang lain. Selepas siap dimandikan,barulah jururawat membawa anak saya kepada saya untuk menyusukannya. Tahulah saya anak saya itu adalah perempuan.

Itulah pengalaman melahirkan anak songsang. Mujur saya boleh bersalin seperti biasa tanpa perlu menjalani pembedahan. Dan yang paling menariknya, sewaktu suami saya datang jam 10.40 pagi dan bertanya di kaunter tentang saya, mereka memberitahu, saya sudah pun selamat melahirkan.

Jadi teladan cerita ini, untuk suami-suami di luar sana tolonglah tunggu isteri anda sehingga selamat melahirkan. Dengan adanya sokongan suami,barulah isteri merasa selamat dan tenang di bilik bersalin. Kalau kata dia lapar, saya yang di dalam bilik bersalin minum air seteguk pun tak dibenarkan. Itulah namanya pengorbanan.


Dan satu lagi tips,

"jangan meneran jika doktor atau jururawat belum suruh...he he he...tapi dah tak tahan teran ajelah."

Followers

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...