Tuesday, July 27, 2010

Sedapnya...Otak-otak ni...

Saya ke Kuala Lumpur minggu lepas menghantar kek pada sebelah siang. Pada sebelah malamnya pula saya singgah ke rumah abang saya di Kg Malaysia Tambahan. Saya singgah di sebuah restoran bernama 'CERUK'. Di restoran tu lah abang saya berniaga otak-otak. Saya tidak pernah makan otak-otak sebelum ni.

*pembekal otak-otak ni dari Gombak. sebab itu namanya otak-otak Gombak*


Bayangkanlah dengar je otak-otak macam-macam yang saya fikirkan. Tapi sebenarnya otak-otak diperbuat dari ikan. Entah kenapalah diorang sebut otak-otak. Saya mencuba untuk pertama kali makan otak-otak. Memang sedap. Panas-panas lagi. Baru di panggang. Sedap bukan kerana abang saya yang menjualnya. Tetapi memang betul sedap.


*yang sedang membakar otak-otak itulah abang saya*

Tengoklah gelagat saya sekeluarga makan otak-otak. Anak-anak pun tak pernah makan sebelumnya,pun kata sedap. Budak-budak kan tak menipu. He he he... Tapi saya tak dapatlah nak makan banyak. Sebab sebelumnya saya sudah pun mengambil makanan berat di rumah. Jadi makan sekadar nak penuhkan perut yang kosong ni je.

Selain otak-otak, ada juga tauhu bakar. Saya pun mencubanya. Biasanya saya makan tauhu sumbat.Ala tauhu yang dibelah dua lepas tu disumbat dengan timun yang dihiris halus. Itupun masa bulan puasa je. Okay juga rasanya tauhu bakar ni. Memang sedaplah.
*Saya nak makan, anak saya yang bongsu itu hanya mampu melihat. :) *

Jadi pada sesiapa yang ke Kuala Lumpur, cubalah singgah ke restoran 'Ceruk' untuk merasai otak-otak panggang dan tauhu bakar. Cari ye di Kg Malaysia Tambahan. Nanti kirim salam kat abang saya ye..Sebab saya pun jarang jumpa dia,maklumlah duduk jauh-jauh. KL-KL(Kuala Lipis-Kuala Lumpur).


Pesanan: Dah cuba baru leh rekomen kat orang lain. Tak cuba jangan pandai-pandai nak rekomen kat orang.

Terima tempahan lagi..

Minggu lepas saya ke Kuala Lumpur lagi. Saya ke sana dengan dua tujuan. Satu menghantar tempahan kek cokelat dan satu lagi mencari bahan-bahan mentah membuat kek. Bukan apa, dekat dengan rumah saya di Lipis jauh beza sangat,mahallah.

Jadi saya ambil kesempatan membeli bahan mentah tersebut sewaktu menghantar tempahan kek cokelat kawan saya untuk majlis cukur jambul anaknya. Jadi saya tak rugi apa-apapun. Lagipun tempat tinggal...duduklah rumah mak saya...Takde masalahkan.

Nampaknya memang kawan saya sungguh memberi sokongan atas usaha saya ni. Mudah-mudahan berkembanglah. Menurut kawan saya anak-anaknya paling suka makan kek cokelat tersebut. Disamping kek cokelat comel 400 biji yang ditempahnya, dia juga menyuruh saya membuat satu kek cokelat besar untuk harijadi kakaknya. Siap suruh tulis atasnya. Saya baru beberapa kali buat dan tak pernah tulis atas kek cokelat. Tetapi kali ni saya cuba juga untuk mereka corak yang menarik untuk kek tersebut. Jangan dilupa jiran saya Cikgu Niena. Dia lah juga yang banyak membantu saya memberi idea atas kek tersebut. Hasilnya amat memuaskan.

Harap-harap dia juga puas hati.

Pesanan: Keikhlasan membuahkan hasil yang berbaloi.

Friday, July 23, 2010

Anak-anak semakin membesar

Semalam saya selongkar gambar kat bilik jumpa gambar Siti Nurhaliza..Sekarang saya terjumpa gambar anak-anak. Gambar anak-anak 3 tahun dulu. Sekarang mereka dah bertambah besar.

Ini gambar sewaktu anak yang kedua Aisyah 8 tahun,yang ketiga Athirah 6 tahun dan yang ke empat 5 tahun.

3 tahun yang lepas...

Sekarang :tahun 2010
Sekarang masing-masing sudahpun berada di sekolah rendah dan berumur 11 tahun,9 tahun dan 8 tahun. Cepat masa berlalu anak-anak semakin membesar. Yang paling risau sekali saya ramai anak perempuan. 5 orang semuanya.Berazam menjaga mereka sebaik mungkin. Dalam zaman internet yang semakin canggih ni, saya risaukan keselamatan kesemua anak-anak saya. Macam-macam yang saya dengar tentang perangai manusia yang semakin rakus membuat dosa.Biarlah saya bertegas sekarang sebelum semuanya menjadi terlambat. Tapi perlu diingat kita merancang hanya Allah yang tentukan segalanya.


Pesanan: Anak-anak anugerah Allah yang tak ternilai,hargailah.

Thursday, July 22, 2010

Jumpa Siti Nurhaliza

Saya selongkar gambar-gambar di bilik,terjumpa gambar saya dan Siti nurhaliza. Tiba-tiba saya nak buat cerita tentangnya. Ini adalah kaitannya dengan reunion Siti Nurhaliza yang akan diadakan di SMK Clifford pada 31 Julai- 1 Ogos 2010.

Gambar saya bersama SITI

Saya rasa bertuah dapat juga menetap berdekatan dengan tempat Siti Nurhaliza membesar iaitu Kuala Lipis. Saya sendiri tidak menyangka kenaikan pangkat suami telah membawa kami ke sini pada tahun 2002. Saya amat meminati penyanyi tersohor Malaysia ini. Manakan tidak awal-awal setelah kami berpindah ke sini, tempat yang saya cari adalah rumah Siti Nurhaliza yang terletak di Taman Pertama. Tahun tu tak silap saya dia masih menetap di rumah lamanya sebelum berpindah ke rumah barunya. Jelas terpampang signboard 'Rumah Siti Nurhaliza' sebelum masuk ke jalan rumahnya.


Kemudian pada Julai 2004,Siti mengadakan konsert Siti Nurhaliza Fantasia Tour di seluruh Malaysia dan juga ke tempat berdekatan Kuala Lipis iaitu Raub. Oleh kerana minat, saya mencuba nasib masuk pertandingan untuk bertemu Siti Nurhaliza melalui e-mail. Akhirnya pada 7 Julai 2004 saya mendapat e-mail dari pihak beliau mengatakan saya berjaya dalam pertandingan tersebut. Mereka hanya ingin tahu sebab ingin berjumpa Siti Nurhaliza. Saya tak ingat apa yang saya tulis.


Gembira tak terkata. Saya di beri 2 pas. Bermakna saya diberi peluang membawa rakan. Jadi saya mengajak rakan baik saya (Nik Hidayati)dari Kelantan datang ke sini menaiki keretapi. Hari yang dinantikan tiba, pada 14 Julai 2004, saya bertemu siti Nurhaliza bersama-sama dengan 4 orang lagi pemenang bersama pasangan masing-masing ke Rumah Rehat Raub,Pahang.

Gembira tak terkata dapat cenderahati dan dapat bergambar dekat dengan Siti Nurhaliza. Memang cantik orangnya. Memang seperti tak percaya saya sudah bertemu dekat dengan penyanyi tersohor Malaysia ni. Seperti dalam mimpi. Bukan senang nak berjumpa dengannya.


Pesanan: Cukuplah tu dapat berjumpa sekali,jangan tamak he he he...



Followers

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...